Jurucakap Kementerian Luar Pyongyang mendakwa, negara kuasa besar dunia itu telah memanipulasi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengambil tindakan ke atasnya selepas mengadakan ujian terbaharu yang disifatkan negara komunis itu sebagai usaha untuk mempertahankan diri berdasarkan undang-undang.

“Sekiranya AS mahu mengenakan sekatan baharu yang lebih keras, Korea Utara akan memastikan AS menerima padahnya,” kata jurucakap terbabit dalam satu kenyataan dipetik oleh agensi berita rasmi negara itu, KCNA.

Draf resolusi sekatan yang digubal oleh AS asalnya mahu mengenakan embargo minyak kepada Pyongyang, menghentikan pengeksportan tekstil utama, melaksanakan larangan perjalanan dan mengenakan pengharaman terhadap akaun kewangan dan perjalanan pemimpin ter­tinggi Korea Utara, Kim Jong-un tetapi ia diubah untuk memenuhi kehendak Rusia dan China yang turut mempunyai kuasa veto.

Sehubungan itu, AS tidak akan mengenakan larangan kepada Jong-un dan mengurangkan sekatan terhadap bekalan minyak dan gas tetapi sebaliknya mencadangkan pengharaman eksport tekstil.

Korea Utara baru-baru ini dikritik kerana menjalankan ujian nuklear keenam dan terbesar pada minggu lalu, yang disifatkan sebagai bom hidrogen tercanggih.

Sementara itu, Ketua Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Jens Stoltenberg berkata, program nuklear Korea Utara kini menjadi ancaman global dan memerlukan tindakan segera di pe­ringkat antarabangsa.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan sama ada sebarang serangan yang dilakukan ke atas Guam, yang merupakan sebuah wilayah pulau AS akan turut men­cetuskan tindakan balas da­ri­pada NATO. – REUTERS