Hari ini hampir dua juta jemaah haji dari seluruh dunia menyelesaikan wajib haji dengan melontar tiga jamarat di Mina sebelum ma­suk maghrib iaitu kira-kira pukul 6.25 petang (11.25 malam waktu Malaysia). Turut menyelesaikan ibadah tersebut ialah seramai 22,307 jemaah haji Malaysia.

Mengikut Pihak Berkuasa Statistik Arab Saudi, pada tahun ini seramai 1,862,909 jemaah haji menunaikan ibadah tersebut. Daripada jumlah itu 1,325,375 orang datang dari luar Arab Saudi manakala 537,537 orang dari dalam negara.

Kerajaan Arab Saudi menetapkan Ahad lalu bersamaan 9 Zulhijjah sebagai hari wukuf diikuti pelaksanaan ibadah wajib haji selama empat hari bermula Isnin hingga hari ini.

Ketika tempoh itu selain wukuf di Arafah, jemaah haji juga bermalam di Muzdalifah dan melontar di Mina.

Kelancaran pelaksanaan ibadah haji tahun ini banyak didorong oleh ketegasan kerajaan Arab Saudi yang melaksanakan pelbagai langkah keselamatan dan penambahbaikan bagi memastikan tiada kejadian buruk berlaku.

Pada tahun lalu, lebih 2,000 jemaah haji yang sebahagian besar dari Iran terbunuh dalam kejadian rempuhan di Mina apabila dua kelompok jemaah yang mahu me­lontar di jamarat bertembung.

Berikutan kejadian itu, pihak berkuasa Arab Saudi melaksanakan jadual melontar yang lebih ketat bagi memastikan keselamatan jemaah haji.

Selain itu, di sekitar Mekah khususnya Masjidilharam, seba­nyak 5,000 buah kamera dipasang bagi memantau pergerakan jemaah haji.

Pada masa yang sama, ribuan anggota keselamatan dan sukarela turut dikerah bagi menentukan pelaksa­naan ibadah haji berjalan lancar.

Sementara itu, kehadiran jemaah haji dari Iran yang bermastautin di luar negara tersebut menarik perhatian dunia.

Ini memandangkan pemerintah Iran pada Mei lalu mengumumkan tidak akan menghantar kira-kira 60,000 orang rakyatnya menunaikan ibadah tersebut sebagai tanda protes terhadap kerajaan Arab Saudi berikutan peristiwa rempuhan tahun lalu.

Bagaimanapun agensi berita Arab Saudi melaporkan, jemaah haji Iran memuji kerajaan Arab Saudi yang dianggap melakukan langkah semaksimum mungkin bagi menentukan keselamatan dan keselesaan jemaah.

Dalam perkembangan berkaitan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk Asia Barat mengucap tahniah kepada Arab Saudi kerana berjaya mengendalikan pelaksa­naan ibadah haji yang bebas daripada sebarang penyakit berjangkit.