Serangan itu dilakukan beberapa jam selepas Arab Saudi berjaya memintas peluru berpandu balistik yang dilancarkan oleh pemberontak Yemen, Houthi berhampiran Mekah.

Seorang pegawai keselamatan yang enggan dikenali berkata, serangan tersebut membedil lapangan terbang awam dan tentera, Republican Guards School dan ibu pejabat Agensi Kese­lamatan Kebangsaan di utara Sanaa.

Selain itu, tiga kem tentera di pusat bandar Sanaa dan pangkalan udara pertahanan di puncak gunung di barat, selatan dan timur kota tersebut turut dibedil.

Penduduk tempatan berkata, serangan itu berterusan daripada tengah malam sehingga waktu subuh semalam dan menggambarkan bedilan tersebut sebagai paling dahsyat sejak permulaan perang.

“Sanaa telah banyak kali di­serang oleh pesawat perang ten­tera gabungan berkenaan dan kami sudah terbiasa dengan ke­ada­an itu, tetapi hari ini situa­sinya berbeza.

“Lebih 20 serangan dilancarkan sejak tengah malam sehingga menyebabkan kami semua panik, memusnahkan rumah dan memecahkan tingkap kediaman,” kata Yahya Mutahar, penduduk tempatan berusia 28 tahun.

Agensi berita rasmi China, Xinhua melaporkan sepuluh buah rumah dikatakan musnah tetapi tiada laporan kehilangan nyawa setakat ini.

Selain itu, berpuluh-puluh keluarga yang tinggal di kawasan kejiranan berdekatan kem tentera di pinggir bandar dilihat telah melarikan diri dari kediaman mereka ketika sera­ngan dilancarkan. – BERNAMA