Kerajaan Yemen yang diiktiraf masyarakat antarabangsa dalam satu kenyataan berkata, jet pejuang dan kapal perang tentera perikatan melancarkan serangan ke atas kubu Houthi bagi menyokong serangan darat oleh tentera Yemen di selatan pelabuhan Laut Merah itu.

Operasi ‘Golden Victory’ itu dilancarkan selepas tamat tarikh akhir yang ditetapkan Emiriah Arab Bersatu (UAE) buat Houthi yang me­nguasai Sanaa supaya menyerahkan pelabuhan tunggal di bawah kendalian kumpulan pemberontak ber­kenaan.

Pelabuhan terbesar Yemen, Hodeidah merupakan pintu masuk utama bagi bantuan kemanusiaan ke negara ini dengan 8.4 juta penduduk yang bergantung kepada bantuan makanan boleh diancam kebuluran.

Agensi bantuan memberi amaran bencana kemanusiaan yang teruk berlaku jika bandar itu diserang dengan hampir suku juta kematian penduduk Yemen boleh berlaku.

“Pembebasan pelabuhan Hodeidah adalah titik perubahan dalam perjuangan kami untuk menawan semula Yemen dari Houthi yang merampasnya bagi memenuhi agenda asing.

“Ia juga akan menjadi permulaan kepada kejatuhan militia Houthi dan menjamin penghantaran jalan laut di Selat Bab al-Mandab selain memutuskan bantuan Iran yang sekian lama membanjiri Yemen dalam bentuk senjata api,” kata kerajaan dalam satu kenyataan.

Kerajaan Yemen pimpinan Pre­siden Abdrabbuh Mansour Hadi dalam satu kenyataan berkata, ke­semua usaha politik bagi memujuk pemberontak berundur telah habis dibincangkan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Luar UAE, Anwar Gargash berkata, tentera perikatan sudah hilang sabar dengan usaha diplomatik selepas tempoh 48 jam diberikan sebelum ini berakhir.

Katanya, tentera perikatan mahu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menguruskan pelabuhan itu dan pada masa sama bersedia mengambil tindakan ketenteraan jika Houthi enggan berundur.

Perang saudara di Yemen setakat ini meragut kira-kira 10,000 orang penduduk sejak tiga tahun lalu dan mengakibatkan apa yang didakwa PBB sebagai bencana kemanusiaan terburuk dunia.

Dalam perkembangan ber­asingan, pemimpin Houthi, Mohammed Ali Al-Houthi memberi amaran tentera perikatan yang disokong Barat itu supaya tidak menyerang pelabuhan tersebut selain mendakwa anggota kum­pulan terbabit telah menyerang kapal pengangkut tentera perikatan.

Al Masirah TV yang dikendalikan Houthi mendakwa, dua peluru berpandu mengenai kapal pengangkut namun tiada penge­sahan rasmi da­ripada tentera perikatan. – AGENSI