Menteri Media, Dr. Awwad Saleh al-Awwad berkata, pihaknya berharap langkah terbabit akan membantu Arab Saudi dapat membuang imej negara ini yang kurang mesra disebabkan oleh iklim sosiobudaya.

“Ketika ini, kami memberikan visa bagi tujuan acara tertentu dan bagi memastikan visa pelancong menjadi realiti, kami perlu mempertimbangkan beberapa aspek. Arab Saudi juga merupakan negara di mana jutaan orang datang untuk bekerja dan kami perlu mencari mekanisme yang tepat.

“Kami akan cuba berbincang dengan lebih lanjut bersama kerajaan dan mungkin kami akan mengeluarkan visa pelancong pada tahun ini,” katanya ketika pertemuan dengan kumpulan media asing di pejabat Kementerian media baru-baru ini. - BERNAMA