Sehingga Ahad lalu, terdapat 95 lagi individu yang masih ditahan di hotel Ritz-Carlton manakala 90 lagi telah dibebaskan selepas ber­setuju dengan syarat ber­kenaan.

Menurut seorang pegawai kanan yang enggan dikenali kepada Bloomberg, sebaik sahaja semua yang ditahan membuat pembayaran, kerajaan negara itu akan memperoleh lebih AS$100 bilion.

Katanya, jika mereka ti­dak membayar wang tunai seperti yang dijanjikan mereka akan didakwa.

Portal Daily Mail me­laporkan, Peguam Negara Arab Saudi, Sheikh Saud Al Mojeb sebelum ini berkata, arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan adalah jelas bahawa jika mereka yang ditahan merasa menyesal dan bersetuju untuk menyelesaikan kes berkenaan, kesemua tuduhan jenayah terhadap mereka akan digugurkan.

Bilionair Arab Saudi, Putera Al-Waleed Talal adalah antara individu terkaya di dunia yang ditahan dalam operasi berkenaan masih belum dapat dipastikan status­nya sehingga kini.

Penahanan itu dilakukan dalam usaha kerajaan mengurangkan perbelanjaan ekoran kejatuhan harga minyak dunia pada tahun 2014.

Pembaharuan ekonomi itu membawa kepada penahanan lebih 200 putera diraja dalam serbuan antirasuah yang diketuai Putera Mahkota Mohammed pada bulan November lalu.

Kebanyakan yang ditahan dikurung dalam hotel tersebut yang kemudian bertukar menjadi penjara mewah.

Tahanan diberi kemudahan termasuk menggunakan pusat gimnasium dan spa hotel.