Menurut laporan akhbar Turki, The Daily Sabah, larangan itu dikeluarkan oleh Kementerian Luar Arab Saudi pada 12 November lalu.

Selain itu, Jakarta Post me­laporkan, perubahan berkenaan disampaikan oleh Kementerian Luar Arab Saudi menerusi nota diplomatik yang dikirimkan kepada wakil-wakil negara yang berada di Arab Saudi, termasuk kedutaan Indonesia di Riyadh.

Pihak berkuasa Arab Saudi menyatakan bahawa langkah terbabit diambil bagi melindungi dan memelihara kesucian tempat itu serta tidak menganggu para jemaah untuk beribadat.

“Sekiranya ingkar, pengawal keselamatan telah diarahkan untuk merampas foto dan kamera jika perlu,” kata kenyataan tersebut sambil menambah perubahan itu perlu disebarkan kepada setiap pengendali yang menguruskan jemaah haji dan umrah di negara masing-masing.

Komuniti Islam di Indonesia telah menyatakan kekecewaan mereka kerana gambar dan video yang diambil di kedua-dua masjid berkenaan adalah sebagai tanda kenangan peribadi terutamanya sekiranya itu adalah peluang sekali seumur hidup.

“Saya setuju bahawa ia adalah menjengkelkan apabila para jemaah terlalu banyak mengambil gambar dan swafoto, tetapi agak menyedih­kan apabila kita tidak lagi dibenarkan merakamkan kecantikan Kaabah atau Masjid Nabawi,” kata salah seorang komuniti Islam Indonesia, Nadhiara Adiatri.

Dalam pada itu, direktorat jemaah Haji dan Umrah Kementerian Hal Ehwal Agama Indonesia menyatakan akan segera bekerjasama dengan persatuan pelancongan dan Kumpulan Kaunseling Jemaah Haji untuk menyebarkan maklumat berkenaan kepada jemaah haji.