Menurut laporan al-Jazeera, kerajaan Arab Saudi sehingga kini enggan mengesahkan ‘lokasi persembunyian’ Saud al-Qahtani.

Beliau dipecat daripada jawatan tersebut beberapa hari selepas kes pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi menjadi gempar dan pada November lepas, kerajaan Arab Saudi mengesahkan Saud kini sedang disiasat dan dihalang ke luar negara.

Sejak itu, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan berkaitan kes tersebut.

Pendakwa raya Arab Saudi pula mendakwa Saud sebagai orang penting yang menjadi dalang pembunuhan Jamal yang berlaku dalam pejabat konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 2 Oktober tahun lepas.

Kerajaan Arab Saudi menegaskan, Mohammed tidak tahu apa-apa mengenai rancangan pembunuhan Jamal.

Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara Barat memantau layanan diberikan kerajaan Arab Saudi terhadap Saud bagi mengukur sejauh mana ke­seriusan pihaknya membawa pembunuh Jamal ke muka pengadilan.

Timbul banyak persoalan tentang penglibatan Saud dalam kes tersebut, termasuk peranan beliau dalam ranca­ngan pembunuhan atau adakah beliau sebenarnya diperdaya?

Pengarah Eksekutif Pusat Arab Washington, Khalil Jahshan menyifatkan kehila­ngan Saud sebagai ‘perkembangan semula jadi’ siasatan Arab Saudi dan strategi untuk melin­dungi Mohammed daripada sebarang pertuduhan berkaitan pembunuhan wartawan Washing­ton Post itu.

“Mereka melindungi orang penting yang dituduh sebagai dalang pembunuhan oleh Turki atau komuniti antarabangsa. Kempen Arab Saudi pada ketika ini berperanan untuk membebaskan Putera Mahkota daripada mana-mana pertuduhan berkaitan kes tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, aktivis hak asasi manusia Arab Saudi, Abdulaziz Almoayyad menganggap kehilangan Saud sebagai satu jangkaan daripada ideo­logi negara tersebut.

Jelasnya, mana-mana pembangkang yang mengharapkan pembaharuan dalam pemerintahan akan dijatuhkan hukuman.

“Ini adalah cara kerajaan Arab Saudi menguruskan perbezaan pandangan, berdepan dengan kehendak rakyat yang inginkan perwakilan dalam kalangan mereka. Putera Mohammed tidak mahu menghukum si pembunuh, tidak sanggup menghukum orangnya dan itu akan membuatkan beliau bakal kehilangan kuasa,” tambahnya.

Pada November lalu, Agensi Perisikan Pusat (CIA) mendakwa Mohammed bertanggungjawab memberi arahan untuk membunuh Jamal di Istanbul berdasarkan percanggahan kenyataan yang dibuat kerajaan Arab Saudi yang menafikan penglibatan putera tersebut.