Belon berwarna merah muda, jingga dan kuning digantung di dalam bilik pameran manakala golongan wanita sibuk berswafoto dengan kereta yang dipamerkan.

Seorang wanita yang duduk di kerusi pemandu dilihat membe­tulkan tempat duduknya manakala seorang lagi wanita lain mencuba stereng kereta ber­kenaan.

Ghada al-Ali berkata, dia memang meminati kereta tetapi tidak mampu untuk memandu.

“Saya berminat untuk membeli sebuah kereta tetapi saya harap harga dan bayaran ansurannya tidak terlalu tinggi,” katanya.

Pameran itu mem­fokuskan jualan kereta dengan penjimatan mi­nyak selain menempatkan sekumpulan jurujual wanita un­tuk membantu pelanggan baharu.

Pihak penganjur mempamerkan slogan ‘Pandu dan Beli-belah’ merujuk kepada golongan wanita yang merupakan kelompok terbesar membeli-belah di pusat beli-belah berkenaan.

“Semua bahagian pusat beli-belah ini dikendali oleh golo­ngan wanita termasuk juruwangnya. Malah, semua yang berada dalam restoran adalah wanita,” kata Sharifa Mohammad yang merupakan Ketua Jurujual di pameran itu.

Pada bulan September lalu, pemerintah Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz memerintahkan semua larangan memandu terhadap wanita ditarik balik mulai bulan Jun ini.

Ramai yang menyifatkan ke­pu­tusan itu adalah pendekatan Putera Mahkota, Putera Mohammed, 32, yang dilihat oleh generasi muda sebagai pemimpin muda yang mahu memecahkan tradisi lama pemerintahan negara yang menghalang kemajuan golongan wanita. – REUTERS