Menurut laporan portal Arab News, penduduk tempatan berkenaan ‘menyamar’ sebagai pemandu peribadi atau dikenali sebagai Kaddadeen, bagi membantu mereka melepasi pos pemeriksaan keselamatan.

Difahamkan, setiap Kadda­deen mengenakan upah seba­nyak 1,500 riyal (RM1,646.56) untuk tujuan itu.

Seorang penyeludup yang enggan dikenali berkata, situasi tahun ini adalah berbeza kerana terlalu banyak pos pemeriksaan keselamatan.

Sepanjang minggu lalu, pihak berkuasa Arab Saudi te­lah menghalang hampir 253,000 jemaah daripada memasuki Mekah kerana tidak memiliki dokumen sah mengerjakan ibadah haji.

Pihak berkuasa juga menahan 229 warga Indonesia di Mekah kerana cuba mengerjakan haji tanpa permit sah pada Sabtu lalu.

Sesetengah daripadanya me­ru­pakan pekerja asing yang telah tamat tempoh visa dan ditahan di dua kawasan penempatan sekitar Mekah dan dipercayai sindiket tempatan telah membantu mereka mengerjakan haji tanpa mendapatkan permit sah.

Dalam perkembangan berlainan, Arab Saudi melancarkan saluran televisyen satelit berbahasa Parsi bagi tujuan penyia­ran ibadah haji selepas Iran tidak lagi membenarkan rak­yatnya mengerjakan haji.

Menteri Kebudayaan dan Maklumat Arab Saudi, Adel al-Toraifi memberitahu, saluran itu akan disiarkan melalui radio ke Iran, Iraq dan Afghanistan, serta aplikasi telefon bimbit dan internet yang bertujuan menyebarkan mesej haji dan pengertian mendalam mengenai Islam.

Iran sebelum ini mengecam Arab Saudi yang gagal mengendalikan insiden rempuhan haji tahun lalu sehingga mengorbankan 2,426 jemaah, termasuk 464 rakyat Iran.

Dalam pada itu, Mufti Besar Arab Saudi, Sheikh Abdul Aziz al-Asheikh menegaskan sebarang percubaan menggagalkan ibadah haji daripada tujuan sebenar, tidak boleh diterima dalam Islam.

Beliau memberitahu, dakwaan Iran terhadap Arab Saudi sehingga menghalang rakyat mereka mengerjakan haji adalah salah dan semata-mata mahu mengaburi dunia mengenai isu sebenar yang berlaku di Iran.

“Haji dalam Islam adalah tentang ibadah dan ketaatan serta bukannya platform untuk sebarang bentuk kejahilan dan penyebaran ajaran sesat,” katanya.

Sementara itu, jemaah haji mula melaksanakan ibadah melontar di Mina dengan pasukan keselamatan dikerahkan untuk mengawal pergerakan para jemaah selama tiga hari bermula hari ini. – DPA/AFP/AGENSI