Sumber yang rapat dengan agensi berita Reuters membe­ri­tahu, para pegawai kanan Amerika Syarikat (AS) pula te­lah memberi bayangan kepada penasihat-penasihat Arab Saudi sejak minggu lalu bahawa me­reka menyokong Putera Ahmed Abdulaziz, sebagai peng­ganti Raja Salman.

Putera Ahmed, 76, pernah me­megang jawatan sebagai Timbalan Menteri Dalam Ne­geri Arab Saudi sejak hampir 40 tahun lalu, lapor portal Al Jazeera.

Menurut sumber itu lagi, keluarga diraja Al Saud mahu melihat perubahan dalam se­narai pewaris takhta tetapi tidak akan bertindak selagi Raja Salman, 82 masih hidup.

Malah mereka juga menge­tahui bahawa Raja Salman ti­dak akan membelakangkan pu­teranya itu.

Kini kata sumber itu, keluarga diraja terbabit dikatakan berbincang tentang kemungkinan selepas kemangkatan Raja Salman, Putera Ahmed yang juga bapa saudara Putera Mohammed dilantik sebagai pengganti.

Putera Ahmed yang merupakan satu-satunya adik Raja Salman masih hidup dijangka mendapat sokongan penuh anggota keluarga diraja terma-suk kuasa barat lain.

Bagaimanapun, Reuters memaklumkan pihaknya ga­gal mendapat ulasan daripada Raja Ahmed mahupun pegawai di Riyadh tentang isu pewaris.

Sementara itu, Raja Salman menerusi ke­nya­taan pertama ba­ginda selepas isu pembunuhan Jamal, memuji badan kehakiman negara itu.

Titah baginda, Arab Saudi diasaskan melalui keadilan dan kesaksamaan mengikut prinsip Islam.

“Kita amat berbangga terhadap usaha badan kehakiman dan pihak pendakwaan dan kita akan memastikan negara ini tidak menyeleweng dalam melaksanakan undang-undang Allah dan tanpa diskriminasi,’’ titah baginda semasa perasmian Majlis Syura.

Namun, Raja Salman tidak menyen­tuh tentang isu pembunuhan wartawan terbabit.

Dalam pada itu, Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir menegaskan dakwaan pelbagai pihak termasuk Agensi Perisikan Pusat (CIA) bahawa Putera Mohammed telah mengarahkan pembunuhan Jamal, adalah palsu.

“Kami di Arab Saudi tahu bahawa tuduhan yang dibuat terhadap Putera Mohammed tidak mempunyai kebenaran dan asas, justeru kami menolaknya,” katanya. – Reuters/AFP