Para pelanggan gergasi teknologi Amerika Syarikat (AS) membuat adu­an kepada Suruhanjaya Pengguna dan Persaingan Australia (ACCC) selepas sistem operasi kemas kini melumpuhkan peranti mereka ekoran masalah global yang dikenali sebagai ‘kesalahan 53’.

Para pengguna diberitahu oleh Apple bahawa mereka tidak layak mendapat sebarang bantuan lagi jika iPhone atau iPad telah dibaiki oleh syarikat lain.

ACCC membawa tuntutan terhadap Apple ke Mahkamah Persekutuan pada tahun lalu atas dakwaan palsu atau mengelirukan kepada pelanggan mengenai hak mereka di bawah undang-undang.

“Jika sesuatu produk rosak, pelanggan berhak secara sah untuk membaiki atau mengganti di bawah Undang-Undang Pengguna Australia, atau dalam beberapa situasi mendapat bayaran balik.

“Pengadilan mengisytiharkan fakta bahawa iPhone atau iPad telah diperbaiki oleh pihak selain Apple tidak akan dan tidak dapat mengakibatkan jaminan pengguna terhenti, atau hak pengguna untuk mendapatkan bantuan dipadamkan,” kata Pesuruhjaya ACCC, Sarah Court dalam satu kenyataan.

Apple mengakui mengelirukan sekurang-kurangnya 275 pe­langgan Australia berhubung isu itu antara Februari 2015 hingga Februari 2016 di laman web AS, melalui kakitangan stor Australia serta panggilan telefon khidmat pelanggannya.

ACCC memberitahu, Apple juga komited untuk menyediakan peranti baharu sebagai ganti kepada pelanggan selepas terdapat dakwaan syarikat itu hanya menukarkan peranti bermasalah dengan barangan lama yang diperbaharui.

Apple tidak memberi sebarang ulasan berhubung isu tersebut. – AFP