Ketika beberapa pangkalan tentera terdedah kepada serangan kumpulan tertentu, peta itu juga menunjukkan apa yang kelihatan seperti la­luan yang digunakan askar untuk keluar masuk dari pangkalan terbabit, maklumat yang boleh digunakan untuk me­ran­cang serbuan dan serangan bom.

Peta yang dihasilkan oleh Strava Labs itu menunjukkan pergerakan pengguna aplikasi terbabit daripada seluruh dunia yang menunjukkan intensiti perjalanan di sepanjang laluan yang diberikan, satu visualisasi langsung atlet rangkaian global Strava.

Laluan itu dipaparkan pada sebahagian besar kawasan di beberapa buah negara namun di beberapa tempat lain, lokasi tertentu kekal kelihatan.

Peta Iraq sebagai contoh, sebahagian besarnya berwar­na gelap, menunjukkan penggunaan aplikasi Strava agak terhad namun beberapa pangkalan tentera terkenal lain yang menempatkan tentera Amerika dan sekutunya dijelaskan secara terperinci.

Ini termasuk pangkalan di Taji, utara Baghdad; Qayyarah, selatan Mosul; Speicher berhampiran Tikrit dan Al-A­sad dekat wilayah Anbar.

Kem yang lebih kecil turut dijelaskan pada peta di utara dan barat Iraq yang menunjukkan kehadiran tentera dan kemudahan yang kurang diketahui.

Tambah berbahaya, laluan jalan raya turut diperincikan menunjukkan pengguna Strava tetap menggunakan peranti itu semasa mengembara sekali gus berpotensi mendedahkan laluan tersebut.

Sementara itu, seorang peng­analisis keselamatan, Tobias Shneider yang merupakan antara individu awal menemukan ke­­mampuan aplikasi itu juga maklum peranti terbabit turut mendedahkan lokasi tentera AS di Syria serta pangkalan Madama yang digunakan tentera Perancis di Niger.

“Di Syria, pangkalan tentera perikatan agak bercahaya pada waktu malam dengan beberapa penanda cahaya me­nunjukkan kedudukan tentera Rusia ketika kedudukan tentera Iran tidak berwarna,” katanya.

Namun masalah itu boleh dielakkan dengan mudah ke­ra­na atlet yang memakai peranti terbabit mempunyai pilihan untuk menukar tetapan dengan mengecualikan kese­mua data. – AFP