Namun kali ini, selepas pe­ngakuan bersalah Michael Cohen yang merupakan bekas peguam peribadi Trump berhubung penglibatan Presiden itu dalam pembayaran wang kepada pelakon lucah, kedudukan Trump semakin goyah.

Walaupun ramai pembantu rapat Trump dipecat dan didakwa di mahkamah tetapi tindakan Cohen yang terus menuding jari kepada bekas ketuanya itu adalah sesuatu yang di luar jangkaan.

Trump sendiri semasa ditemu bual dalam rancangan Fox and Friends berhubung pengakuan Cohen dan kemungkinan pendakwaan akan dikemukakan terhadap beliau, tidak memberi jawapan yang meyakinkan.

“Pasaran kewangan akan jatuh, semua orang akan miskin, orang ramai akan memberontak. Saya tidak tahu bagaimana mereka akan mendakwa orang yang telah melakukan kerja yang hebat,” katanya.

Bagi Trump, semua yang dilakukannya adalah yang terbaik, terhebat atau paling bersejarah.

Kata bekas penasihat kempen AS, Brian Klaas, reputasi Trump dari segi politik dan undang-undang akibat pengakuan Cohen itu telah terjejas teruk.

Malah Tom Cole, anggota Dewan Perwakilan da­ripada Republikan memberi amaran semua anggota Republikan akan bertindak terhadap Trump jika wujud isu yang jelas dan meyakinkan.

Ahli Kongres Demokrat, Al Green, yang sebelum ini pernah mengemukakan pendakwaan terhadap Trump juga bercadang untuk melakukan tindakan sama susulan pengakuan bersalah Cohen.

‘Countdown’ pendakwaan ter­hadap Trump katanya, telah bermula dan bi­lionair itu perlu membuat pilihan sama ada berdepan dengan pendakwaan atau bersara.

Namun hakikat­nya, Republikan me­nguasai Dewan Perwakilan dan Se­nat malah menurut kajian Pusat Kajian Pew, majoriti anggota Republikan masih setia kepada Trump dan penilaian sokongan terhadap pemimpin itu amat stabil.

Setakat ini, beliau dilindungi oleh dominasi anggota Repulikan dalam Kong­res namun parti itu telah memperlihatkan kebimbangan dan keresahan selepas seminggu Washington digegar dengan isu tersebut.

Bagaimanapun, pengalaman lalu menunjukkan usaha dan kerja keras perlu dilakukan untuk melonggarkan kesetiaan dan kepercayaan penyokong Trump.

Sehingga kini tiada seorang Presiden AS yang pernah di­singkirkan atau dipecat melalui proses pendakwaan namun tidak bermakna tiada Presiden AS yang tidak pernah didakwa.

Bill Clinton, bekas Pre­si­den AS ke-42 didakwa kerana menghalang keadilan selepas berbohong tentang hubungan sulitnya dengan pelatih White House, Monica Lewinsky malah mengarahkan wanita itu me­nipu tentang hal tersebut.

Dewan Perwakilan mengundi untuk mendakwa Clinton pada 1998 walaupun pada ketika itu sokongan terhadap Presiden tersebut mencecah 72 peratus.

Namun apabila kes berkenaan sampai kepada Senat pada 1999, perkara itu gagal untuk mendapat sokongan dua pertiga untuk diluluskan.

Seorang lagi Presiden AS yang pernah didakwa ialah Andrew Johnson iaitu Presiden ke-17 yang berkhidmat selama empat tahun, bermula pada 1865.

Beliau didakwa oleh Dewan Perwakilan pada 1868 namun bernasib baik ketika di Senat kerana diselamatkan melalui satu undi kerana majoriti anggota Se­nat adalah anggota Republikan.