Bagaimana cara melintasi sempadan? Apa yang patut dibawa? Ibu dan anak, golongan muda melarikan diri daripada samseng selain cerita di media sosial mengenai golongan lelaki berusaha mencari jalan untuk memberi makan kepada ke­luarganya. Karavan mencetuskan pelbagai situasi dan perkara.

Sebaik sahaja satu karavan memulakan perjalanan, rancangan untuk melaksanakan karavan seterusnya mula dibincangkan di media sosial dengan beratus orang yang berminat mengutarakan soalan, menyertai perbincangan atau berkongsi harapan serta ketakutan.

“Sasaran saya adalah tiba di AS,” kata salah seorang pendatang yang akan menyertai karavan terakhir meninggalkan El Salvador.

Sejak Oktober lalu, lebih 5,000 pendatang Amerika Te­ngah memulakan ‘penghijrahan’ melalui pelbagai cara se­perti berjalan kaki, menaiki bas atau menumpang kenderaan orang lain untuk ke AS.

“Saya menemukan maklumat berkaitan karavan di Facebook. Seseorang telah memuat naik pautan dalam WhatsApp. Mereka bertukar maklumat,” jelas seorang ibu tunggal berusia 38 tahun kepada AFP yang enggan mendedahkan namanya kerana khuatir kumpulan samseng akan mengancamnya.

Kumpulan samseng itu mencetuskan kebimbangan bukan sahaja di El Salvador tetapi seluruh rantau Amerika Tengah, sama ada melalui pembunuhan, memaksa kanak-kanak lelaki menyertai mereka atau merogol kanak-kanak perempuan.

Mengikuti langkah 2,000 pendatang yang meninggalkan Honduras pada 13 Oktober lalu, seramai 400 orang warga El Salvador turut bertolak ke AS pada 28 Oktober, manakala tiga hari kemudian, jumlah berkenaan meningkat empat kali ganda.

Seramai 300 hingga 400 orang secara puratanya mening­galkan El Salvador setiap hari.