Myanmar diwakili Timbalan Menteri Luarnya, Kyaw Tin dilaporkan telah bertemu Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina semalam untuk membincangkan isu itu dengan lebih terperinci.

Seorang jurucakap kepada Sheikh Hasina memberitahu, antara kandungan perbincangan tersebut ialah Myanmar sepatutnya menerima semula etnik Rohingya yang berada di Bangladesh ketika ini.

Menteri Luar Bangladesh, AH Mahmood Ali pula memberitahu, lawatan delegasi Myanmar selama 12 hari yang diketuai Kyaw Tin itu kini berada pada fasa yang berikutnya.

Menurut beliau, selain mahu mengekalkan hubungan baik dengan negara jiran itu, kerajaan Bangladesh juga mahu penduduk Rohingya keluar dari kawasan sempadan mereka agar sektor pelancongan dapat diba­ngunkan di situ.

“Kami mahu melihat Rohingya meninggalkan Bangladesh secepat mungkin,” kata Mahmood Ali semalam.

Ketua Pengarah di Kementerian Luar Myanmar, Aye Aye Soe yang mengesahkan perkara itu percaya bahawa perbincangan lanjut berhubung proses mengenal pasti dan pengesahan identiti penduduk Rohingya di sana akan bermula bila-bila masa ­sahaja.

“Jika mereka menjumpai mana-mana individu dari Myanmar, penghantaran pulang boleh dilakukan pada masa yang sesuai,” katanya yang memberitahu tidak ada had masa ditetapkan untuk perbincangan berkenaan.

Dalam perkembangan bera­singan, parti memerintah di Ra­khine dilaporkan enggan menerima kunjungan wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Yanghee Lee ekoran dakwaan berhubung penderaan penduduk Rohingya di sana.

Lee sepatutnya bertemu anggota Parti Kebangsaan Arakan (ANP) di Sittwe sebelum menuju ke Rakhine di utara Myanmar, esok.

Utusan khas PBB itu sebelum ini berdepan pelbagai ancaman termasuk dilabel sebagai ‘pelacur’ oleh kumpulan pelampau Buddha ekoran rancangannya untuk me­ngunjungi Rakhine. – REUTERS/AFP