BBC melaporkan, seramai 36 murid di Sekolah Rendah Asheville Waldorf disahkan menghidap demam campak dan sebahagian daripada komuniti di sekolah berkenaan merupakan golongan anti vaksin.

Golongan pelajar di sekolah tersebut dibenarkan tidak mengambil suntikan vaksin atas sebab-sebab ajaran agama.

Sektor perubatan AS sebelum ini menegaskan bahawa pengambilan suntikan vaksin adalah jauh lebih selamat berbanding menghidap demam campak.

Jurucakap Jabatan Kesihatan North Carolina menerusi satu kenyataan menyatakan bahawa penularan penyakit berjangkit itu merupakan kes terbesar pernah dicatatkan di AS sejak vaksin untuk mencegahnya boleh didapati.

Sebanyak 110 daripada 152 pelajar di sekolah berkenaan tidak mengambil suntikan vaksin untuk mencegah jangkitan virus varicella yang menyebabkan demam campak.

Menurut data negara, kira-kira 67.9 peratus murid tadika di sekolah tersebut mendapat pengecualian suntikan vaksin dari tahun 2017 hingga 2018.

Sekolah rendah berkenaan mendapat kerjasama penuh para pegawai perubatan tempatan dan ia mematuhi undang-undang negeri North Carolina.

Undang-undang negeri ini membenarkan penduduknya mengambil beberapa suntikan imunisasi termasuk mencegah demam campak dan penyakit beguk untuk kanak-kanak tadika.

Namun, North Carolina juga membenarkan pengecualian perubatan atas sebab-sebab ajaran agama yang dianuti penduduknya dan mewakili ne­geri yang paling besar diberikan pengecualian itu.

Dalam pada itu, daerah Buncombe yang menempatkan bandar Asheville mempunyai penduduk lebih 250,000 orang dan dikecualikan daripada mengambil suntikan vaksin atas alasan agama di AS.

Penolakan vaksin itu adalah disebabkan kebimbangan segelintir ibu bapa di negara ini terhadap kesan suntikan vaksin terhadap anak-anak mereka.