Insiden di sebuah hentian bas berhampiran Dataran Kizilay itu menyaksikan sekurang-kurang­nya 37 orang dilaporkan terbunuh, manakala 125 lagi cedera.

Turut musnah dalam letupan yang berlaku di kira-kira pukul 6.45 petang waktu tempatan itu ialah beberapa buah kenderaan serta lot-lot kedai yang terletak berhampiran lokasi kejadian.

Menurut pihak keselamatan, serangan tersebut berkemungkinan didalangi dua anggota kumpulan militan Parti Pekerja Kurdistan (PKK) dengan seorang daripadanya dipercayai perem­puan.

Dakwaan itu dibuat berdasarkan maklumat menyatakan seorang pengebom wanita berasal dari bandar Kars, timur Turki yang dilahirkan pada tahun 1992 telah menyertai kumpulan militan itu tiga tahun lepas.

Keadaan di lokasi kejadian bertukar menjadi kecoh dan tidak terkawal sebaik sahaja le­tupan berlaku apabila orang ramai mula bertempiaran lari menyelamatkan diri, manakala siren-siren ambulans dan polis kedengaran berselang-seli di sekitar Ankara.

Tompokan darah kelihatan ada di mana-mana dan mayat mangsa termasuk yang tidak sempurna juga bergelimpangan ketika anggota keselamatan serta pasukan penyelamat bertungkus-lumus membawa mangsa yang terselamat ke hospital dengan dibantu oleh orang ramai.

Dalam perkembangan terbaharu hari ini, empat orang suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan kenderaan digunakan dalam serangan itu ditahan.

Semua mereka ditahan di Sanliurfa berhampiran sempadan Syria selepas maklumat mendedahkan kenderaan itu dibeli di bandar berkenaan.

Tragedi serangan bom tersebut merupakan kejadian kedua berlaku dalam tempoh kurang sebulan di bandar raya yang terkenal dengan kepadatan penduduknya itu.

Menteri Kesihatan Turki, Mehmat Muezzinoglu berkata, 30 daripada mangsa pengeboman itu maut di tempat kejadian akibat cedera parah, manakala ba­kinya meninggal dunia di hospital.

Pejabat Gabenor wilayah Ankara mengesahkan kejadian itu berpunca daripada bom kereta.

Pada 17 Februari lalu, seramai 29 orang terbunuh dalam satu letupan bom yang menyasarkan tentera Turki dan serangan tersebut didakwa didalangi PKK. – AFP/Reuters