Berdasarkan data Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia, jumlah mangsa yang disahkan terkorban setakat pukul 1 petang tadi ialah 844 orang.

Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat BNPB, Sutopo Purwo Nugroho berkata, bagaimanapun berkata jumlah korban dikhuatiri meningkat.

Namun media dalam talian Indonesia yang memetik kenyataan Timbalan Presiden Aksi Cepat Tanggap (ACT) Indonesian Volunteer Society, Insan Nurrohman pula berkata jumlah korban bencana setakat tengah hari ini adalah seramai 1,203 orang.

Sutopo menegaskan BNPB menghadapi kekangan bagi penjumlahan mangsa korban dengan cepat akibat jaringan komunikasi yang belum pulih sepenuhnya.

"Pihak berkuasa ketika ini bertungkus lumus dalam usaha mencari dan menyelamat," katanya.

Sementara itu, seorang daripada dua rakyat Malaysia yang berada di Palu telah selamat pulang ke Malaysia.

Beliau dikenali pasti sebagai Dr. Farah Liana Basri, telah dibawa menaiki penerbangan khas tentera ke Jakarta dan seterusnya menaiki pesawat Air Asia jam 1.30 pagi dan selamat tiba di Kuala Lumpur jam 4.30 pagi tadi.

Menurut jurucakap Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, seorang lagi rakyat Malaysia, Vijayan Govinathan Nai, kini berada di Poso, Sulawesi Tengah dan dijadual menaiki penerbangan khas tentera ke Jakarta esok pagi.

Terbaharu, satu gempa bumi bermagnitud 5.5 pada Skala Richter berlaku di 62km ke Barat Laut Donggala pada pukul 12.43 tengah hari tadi.

Sementara itu, Menteri Perhubungan Indonesia, Budi Karya Sumadi berkata Lapangan Terbang Mutiara SIS Al Jufri di Palu, mula dibuka untuk penerbangan komersial, hari ini.

"Rencananya (mengikut jadual penerbangan) akan ada 40 penerbangan dari dan ke luar Palu. Rekahan dan retakan di landasan lapangan terbang itu telah dibaiki," katanya.

Lapangan terbang itu kembali beroperasi secara manual semalam berikutan mengalami kerosakan teruk akibat gempa itu.

Operasi penerbangan lebih menjurus kepada penerbangan kecemasan, operasi mencari dan menyelamat dan tindakan kemanusiaan. - BERNAMA