Pusat Kajian Geologi Ame­ri­ka Syarikat (USGS) berkata, pusat gempa itu dikesan pada kedudukan 87 kilometer ke barat daya pekan Pijijiapan dengan kedalaman 69 kilometer.

Gempa itu menyaksikan beberapa bangunan seperti dewan, gereja, hotel dan restoran di pekan Juchitan, Oaxaca musnah sekali gus memaksa beribu-ribu penduduknya diarahkan berpindah sebagai langkah berjaga-jaga.

Seorang mangsa, Dalia Vasque, 55, berkata, gempa yang turut menggegarkan Guatemala dan El Salvador itu menyebabkan beberapa buah rumah di kawasan kejiranannya runtuh dan menghempap penghuni.

“Saya melihat pasukan ke­selamatan membawa keluar ma­yat jiran saya dan anaknya yang maut dihempap runtuhan rumah mereka. Kami sudah tidak mempunyai apa-apa ketika ini,” katanya.

Gabenora Juchitan, Gloria Sanchez menyifatkan gempa tersebut sebagai peristiwa paling teruk pernah berlaku dalam sejarah pekan ini.

Dalam pada itu, kira-kira 250 orang turut cedera dalam gempa tersebut, selain pihak berkuasa terpaksa menangguhkan persekolahan ekoran banyak sekolah musnah dalam kejadian tersebut.

Lapangan Terbang Mexico City turut terkena tempias gempa berkenaan apabila banyak tingkap pecah, selain beberapa kawasan kejiranan di bandar itu terputus bekalan elektrik.

Sementara itu, Taufan Katia dilaporkan melanda pusat peranginan Tecolutia di Veracruz yang terletak di Teluk Mexico.

Pusat Kebangsaan Taufan (NHC) Amerika Syarikat (AS) berkata, Katia membadai 185 kilometer ke barat laut Veracruz dan dikategorikan sebagai taufan satu dengan kelajuan angin 120 kilometer per jam.

Pihak berkuasa Veracruz turut mengeluarkan amaran bahawa Katia boleh menyebabkan tanah runtuh dan banjir, selain menggesa penduduk yang tinggal di bahagian kaki gunung serta lembah supaya bersedia untuk berpindah.

Bagaimanapun, taufan itu diramalkan semakin lemah dalam tempoh beberapa hari lagi. – REUTERS