Jumlah itu naik mendadak berbanding semalam apabila hanya 65 orang sahaja disahkan terbunuh dengan dua daripada mereka terperangkap dalam runtuhan akibat Taufan Katia.

Jurucakap pihak berkuasa perlindungan sivil kerajaan, Jesus Gonzalez berkata, daripada keseluruhan jumlah itu, 71 kematian direkodkan di wilayah Oaxaca.

Sekurang-kurangnya 15 orang pula dipercayai terbunuh di Chiapas manakala pihak berkuasa Tabasco di utara Mexico mengesahkan, berlakunya empat kematian akibat bencana terbabit di wilayah berkenaan.

Gempa bumi berukuran 8.1 pada skala Richter itu dianggap sebagai gempa bumi paling dahsyat yang berlaku di negara ini sejak 1985.

Dalam pada itu, beratus-ratus keluarga di Juchitan, Oaxaca terpaksa bermalam di tepi jalan di­sebabkan bimbang gempa bumi tersebut akan berulang jika kembali ke rumah mereka.

Kenyataan itu diperkuatkan dengan laporan Perkhidmatan Seismologi Mexico yang me­ngatakan, terdapat sekurang-ku­rangnya 721 gempa susulan ekoran gempa bumi terbabit.

Seorang penduduk, Ignacio Chavez memberitahu, anak lelakinya antara mangsa yang terkorban dalam bencana tersebut.

“Dia tidak sempat keluar dari sebuah bangunan ketika kejadian berlaku dan terperangkap dalam runtuhan berkenaan,” katanya sedih.

Sementara itu, Taufan Katia yang melanda Veracrus dilaporkan memusnahkan 235 buah rumah dan menjejaskan lebih 900 penduduk di situ.

“Rumah saya runtuh kira-kira pukul satu pagi (waktu tempatan) dan saya terpaksa berlindung di rumah yang lain,” kata seorang pemandu pelancong berusia 75 tahun, Castellano Espinosa. –AGENSI