Selain itu, landskap gunung itu juga menarik kedatangan golongan pengembara dan pendaki dari seluruh dunia dan menjadi salah satu produk pelancongan di daerah tersebut.

Pendakian ke puncak yang berketinggian 2,451 meter (8,039 kaki) dari paras laut itu membolehkan pendaki menakluk Gunung Sinabung dalam masa sehari suntuk. Namun, pendakian mestilah bermula seawal pukul 8 pagi dan sampai semula ke tapak perkhemahan yang terletak di tepi tasik di kaki gunung sekitar pukul 4 atau 5 petang.

Penulis pernah menjejakkan kaki ke puncak Sinabung bersama pendaki Indonesia pada 2007. Tiga tahun kemudian, gunung itu meletus dan sehingga kini, pendaki tidak dibenarkan melakukan sebarang aktiviti di gunung tersebut. Nasib baik penulis sempat menakluk puncak Sinabung kerana sejak meletus pada 2010, tiada tanda-tanda menunjukkan gunung itu akan kembali tenang.

Catatan sejarah menunjukkan antara 69,000 hingga 77,000 tahun lalu, sebuah gunung berapi besar telah meletus, iaitu Gunung Toba. Kesan letusan gunung itu telah membentuk Danau Toba yang ada sekarang, selain turut ‘melahirkan’ dua gunung berapi yang lain iaitu Gunung Sinabung dan Gunung Sibayak.

Gunung berapi Sinabung direkodkan tidak aktif selama 400 tahun, sebelum kembali aktif pada 2010.

Beberapa siri letusan yang berlaku memaksa pihak berkuasa tempatan menutup trek mendaki, selain penduduk sekitar diarahkan berpindah ke pusat pemindahan. Tidak diketahui bilakah ‘kemarahan’ gunung berapi Sinabung dapat diredakan.

Sejak lapan tahun lalu juga Sinabung terus memuntahkan lahar, meluncurkan awan panas dan debu ke udara serta menghanyutkan lumpur dingin ke kawasan kampung sehingga detik ini.

Banyak yang terpaksa dikorbankan apabila berlaku bencana alam seperti ini, antaranya ternakan dan tanaman musnah, kerosakan harta benda termasuk rumah dan jalan raya serta sekolah terpaksa ditutup untuk satu tempoh yang lama.

Letusan terbaharu pada kira-kira pukul 8.53 pagi waktu tempatan pada 19 Februari 2018 lalu mencetuskan kebimbangan penduduk yang menyaksikan asap tebal bergulung dan abu menjulang tinggi ke udara sejauh lima kilometer. Menurut pihak berkuasa tempatan, sebelum itu, beberapa gegaran berlaku pada 17 dan 18 Februari lalu.

Satu perkara yang sukar dijawab oleh sesiapa sahaja adalah sampai bilakah letusan Sinabung akan berterusan? Sudah lapan tahun, kawah gunung itu sentiasa memuntahkan lahar, abu dan asap tebal, namun tiada tanda-tanda ia akan berakhir dalam masa terdekat ini.