Menurut laporan Channel News Asia, amaran tegas tersebut diumumkan selepas gunung berapi itu menampakkan tanda-tanda bahaya yang semakin me­ning­kat.

Sabtu lalu, lereng gunung ber­api itu runtuh ke dalam laut mengakibatkan ombak tsunami setinggi lima meter dan melanda Selat Sunda dengan lebih 400 orang terkorban.

Indonesia menetapkan sistem empat tahap amaran bagi ancaman gunung berapi.

Agensi Kawalan Trafik Udara Indonesia AirNav juga mengarah­kan semua penerbangan yang melalui zon larangan iaitu antara Pulau Jawa dan Sumatera dilencongkan selepas Gunung Berapi Anak Krakatau dilaporkan aktif memuntahkan debu ke udara.

Jurucakap Badan Nasional Pengurusan Nasional Indonesia (BNPB), Sutopo Purwo Nugroho berkata, zon larangan diperluaskan iaitu dari dua kilometer kepada lima kilometer.

“Semua pihak termasuk pe­lancong dilarang menjalankan se­barang aktiviti dalam radius lima kilometer dari puncak gunung berapi. Hal demikian kerana letusan dalam bentuk batu dan gas panas serta abu tebal amat berbahaya,” katanya.

Agensi meteorologi Indonesia juga menyarankan agar tiada kegiatan dijalankan di kawasan pantai ketika ancaman baharu tsunami mungkin berlaku.

Sementara itu, imej yang di­kongsi oleh agensi mitigasi me­nunjukkan beberapa bangunan, kenderaan dan pokok di sepanjang pantai barat Jawa dilitupi debu gunung berapi sejak semalam.

Pihak berkuasa menyatakan, abu itu tidak berbahaya, tetapi menasihatkan penduduk untuk memakai topeng muka keselamatan ketika berada di luar.

Dalam pada itu, al-Jazeera melaporkan, kebanyakan mangsa yang hilang tempat tinggal kini berlindung di pusat penempatan sementara termasuk di masjid dan sekolah.

Beras dan makanan lain dihantar ke pusat penempatan tersebut tetapi mereka berdepan dengan bekalan air bersih serta pakaian dan selimut.

Sutopo memberitahu, perin­tah darurat diumumkan sehingga 4 Januari ini dengan pi­hak berkuasa berharap dapat menem­patkan lebih banyak pasu­kan bantuan.

Maskah, 39, yang ditemukan di khemah-khemah yang didirikan di kawasan lereng bukit di Kebun Damos, Sumatera pula berkata, dia tidak berani untuk pulang ke rumahnya kerana bimbang de­ngan ancaman baharu tsunami.

“Kawasan ini sangat sejuk tetapi kami tidak mahu pulang. Kami takut dengan tsunami,” katanya.