Bercakap kepada Fox News, Trump Jr. menganggap beri­ta pertemuan itu tidak perlu ‘diperbesar-besarkan’.

“Beliau (Trump) tidak tahu dan tidak ada apa yang perlu diberitahu mengenai perkara itu.

“Maksud saya ialah, saya tidak pernah terfikir mengenai perkara ini sehingga anda (wartawan) mula membangkitkannya.

“Agak memalukan kerana pertemuan itu sebenarnya membazirkan sekurang-kurangnya 20 minit masa yang saya miliki dengan sia-sia,” katanya seperti dilaporkan portal BBC.

Turut serta dalam pertemuan yang berlangsung di Trump Tower pada Jun 2016 itu ialah adik iparnya, Jared Kushner serta Pengerusi Kempen Pilihan Raya Trump, Paul J. Manafort.

Kelmarin, Trump Jr. mengesahkan pertemuannya de­ngan peguam Rusia tersebut, Natalia Veselnitskaya, tetapi mendakwa, tiada sebarang maklumat berguna mengenai calon Demokrat, Hillary Clinton yang dapat dikongsi.

Dalam pada itu, Trump Jr. memberitahu Fox News bahawa dia bersedia mempertahankan tindakannya itu jika dipersoalkan mana-mana pihak.

“Situasi ini (pertemuan) berlaku sebelum ‘kegilaan’ Rusia timbul iaitu sebelum isu ini dibangkitkan pihak media.

“Bagi saya, apa yang berlaku ketika ini adalah satu siasatan yang bertentangan. Mereka memiliki sesuatu yang boleh dijadikan bukti kukuh terhadap semua cerita yang disampaikan seperti yang saya dengar sebelum ini,” katanya.

Tambah Trump Jr., dia cuma membaca, membalas dan mengambil tindakan sewajar­nya apabila menerima e-mel yang mengatur pertemuan itu.

Ketika itu, beberapa anggota Jawatankuasa Kongres percaya Rusia telah campur tangan secara tidak langsung dalam kempen Pilihan Raya Presiden AS sebelum ini untuk menangkan Trump.