Insiden tersebut disifatkan sebagai tragedi amuk terburuk dalam sejarah Amerika Syarikat (AS).

Polis Las Vegas, Syerif Joseph Lombardo berkata, suspek yang dikenali sebagai Stephen Paddock, 64, bertindak melepaskan tembakan rambang dari tingkat 32, hotel dan kasino, Mandalay Bay yang terletak bersebelahan lokasi festival Route 91 Harvest itu sebelum dipercayai membunuh diri.

Lombardo berkata, pasukan polis dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) sedang menyiasat latar belakang Paddock dan mengesahkan menemui lebih sepuluh senjata api di dalam bilik hotelnya.

Serangan terbabit sebagai insiden pembunuhan beramai-ramai paling buruk dalam sejarah AS, mengatasi insiden pembunuhan 49 orang di kelab malam Orlando tahun lalu.

Ribuan pengunjung yang panik bertempiaran lari dari tempat kejadian sehingga ada yang dipijak ketika anggota ke­­selamatan cuba me­ngesan dan membunuh lelaki bersenjata itu.

“Kami sedang menyaksikan konsert hebat apabila tiba-tiba terdengar bunyi kuat yang pada mulanya disangkakan mercun.

“Keadaan terus bertukar kecoh apabila ramai yang rebah terkena tembakan dan semua yang ada bertempiaran lari menyelamatkan diri,” jelas seorang saksi, Joe Pitz.

Lombardo dalam satu taklimat menyifatkan suspek warga tempatan itu bertindak bersen­dirian dan tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana kumpulan militan dan turut mengesahkan khabar angin tentang beberapa insiden tembakan lain adalah palsu.

Polis dilaporkan turut berjaya mengesan seorang wanita Asia yang dipercayai sebagai rakan sebilik suspek, dikenali sebagai Marilou Danley, 62.

Menurut jurucakap hospital, seramai 14 orang yang cedera kini kritikal dan dua anggota polis yang tidak bertugas merupakan antara mangsa yang terkorban dalam tragedi berkenaan.

Menurut saksi dalam status di media sosial mendakwa kejadian itu berlaku pada waktu malam semasa festival berkenaan yang berlangsung selama tiga hari dan dihadiri ribuan pengunjung.

Festival itu menampilkan selebriti country terkemuka seperti Eric Church, Sam Hunt dan Jason Aldean.

Media AS termasuk Fox News melaporkan Aldean membuat persembahan kira-kira pukul 10.45 malam waktu tempatan semasa kekacauan itu bermula dan beliau berjaya dibawa keluar de­ngan selamat di luar lokasi festival.

Kesemua artis berkenaan selamat, Las Vegas merupakan sebuah bandar peranginan utama terkenal dan diketahui sebagai pusat perjudian, membeli belas dan hiburan.

Polis pada masa sama belum mendedahkan maklumat mengenai motif serangan itu – Agensi