WASHINGTON 21 Nov. – Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan terbaharu terhadap Iran semalam selepas mendakwa musuhnya itu menggunakan Syria sebagai perantara menghantar bekalan minyak ke Damsyik bagi membiayai aktiviti pergerakan Hezbollah dan Hamas.
AS juga mendakwa Iran telah mewujudkan rangkaian hubungan dengan syarikat-syarikat Rusia yang disifatkan berbahaya.
Jabatan Perbendaharaan AS melalui satu kenyataannya memaklumkan, Teheran ‘bekerjasama dengan syarikat-syarikat Rusia, menyalurkan berjuta-juta tong minyak kepada kerajaan pimpinan Presiden Bashar al-Assad’.
“Rejim Bashar menyalurkan beratus-ratus juta dolar kepada Kor Pengawal Revolusi Iran Islam (IRGC) dan unit khas Pasukan Quds yang kemudian memindahkan wang itu kepada pergerakan Hamas dan Hezbollah,” dakwa AS.
Sekatan terbaharu itu turut menyasarkan warga Syria, Mohamed Alchwicki dan syarikatnya yang beribu pejabat di Rusia, Kumpulan Global Vision.
Mohamed dituduh memainkan peranan utama memindahkan minyak ke Syria dan menyalurkan wang kepada kumpulan militan, lapor portal Channel News Asia.
Dakwa AS, syarikat milik lelaki itu secara haram menerima pemindahan dana dari Bank Pusat Iran melalui satu transaksi.
Lapor kenyataan tersebut, firma-firma perantara yang terlibat dalam komplot untuk mengaburi destinasi minyak dan wang itu termasuklah sebuah anak syarikat Kementerian Tenaga Rusia.
Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo melalui Twitter memberi amaran bahawa ‘sesiapa yang menyalurkan minyak kepada Syria atau cuba mengelak sekatan AS terhadap aktiviti keganasan Iran akan menerima akibat yang buruk’.
Belia menambah, pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei ‘perlu memutuskan sama ada membelanjakan semula wang rakyat Iran untuk rakyat adalah lebih penting berbanding melabur bagi membiayai Bashar, Hezbollah, Hamas dan kumpulan militan lain’.