Perkembangan ini sekali gus membayangkan tragedi kemanusiaan lebih dahsyat dalam perang saudara yang berlangsung selama tujuh tahun di Syria.

Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif melawat Damsyik bagi membincangkan ran­cangannya menjelang satu per­sidangan antara pemimpin Iran, Rusia dan Turki dengan Teheran menjadi penganjur pertemuan pada 7 September ini.

Agensi berita Iran, Fars me­laporkan, Mohammad Javad berjumpa dengan Presiden Syria, Bashar al-Assad, Perdana Menteri Syria, Imad Khamis dan rakan sejawatnya, Walid al-Muallem yang meminta Teheran meneruskan sokongannya kepada Damsyik.

“Seluruh wilayah Syria perlu dipelihara dan kesemua kumpulan perlu memulakan pusingan pembinaan sebagai satu kolektif dan mereka yang berpindah seharusnya pulang kepada keluarga mereka.

“Kesemua saki baki pembe­rontak di Idlib mesti dibersihkan dan wilayah itu perlu diletakkan semula di bawah kawalan rakyat Syria,” kata Mohammad Javad.

Tentera kerajaan Syria yang disokong oleh Rusia dan Iran merancang serangan secara berpe­ringkat di Idlib yang dihuni kira-kira tiga juta orang awam dan kawasan sekitar yang dikuasai pemberontak yang memerangi Bashar.

Semalam Presiden AS, Donald Trump memberi amaran kepada Bashar dan sekutunya, Iran dan Rusia supaya tidak sewenang-wenangnya menyerang wilayah Idlib sambil membayangkan membayangkan ratusan ribu penduduk akan terkorban .

“Tindakan Rusia dan Iran akan mengakibatkan kesilapan kemanusiaan yang besar kerana terlibat dalam insiden yang boleh mengakibatkan tragedi kemanusiaan. Ratusan ribu penduduk akan terbunuh. Jangan biarkan ia berlaku,” kata Trump dalam Tweetnya.

Trump cuba meningkatkan hubungan antara Washington-Moscow sejak mengambil alih kuasa pada 2017 namun negara kuasa besar dunia itu tidak dapat mengekang sokongan tentera dan diplomatik yang diberikan Moscow kepada Bashar. – REUTERS