Menurut portal berita BBC, Trump menegaskan, tarif seba­nyak 10 peratus itu akan dikuatkuasakan jika China enggan menukar amalan perdagangannya.

Semalam, Trump mengutuk amalan tidak adil berkaitan dengan pengambilalihan harta dan teknologi intelektual AS.

Beliau berkata, China bukan sahaja tidak mahu mengubah amalan-amalan tersebut tetapi turut mengancam syarikat-syarikat, pekerja dan petani AS yang tidak melakukan kesalahan.

Jelasnya, tarif itu akan berkuatkuasa jika China masih berdegil dan tetap mahu me­ngenakan tarif baharu ke atas 659 produk AS bernilai lebih AS$50 bilion (RM200 bilion) yang diumumkan baru-baru ini.

“Sekiranya China menaikkan tarifnya sekali lagi, kami akan membalas tindakan itu dengan meneruskan tarif tambahan ke atas barangan lain bernilai lebih AS$200 bilion,” tegas Trump.

Kementerian Perdagangan China dalam satu kenyataan bertindak balas dengan menuduh AS sengaja ‘memeras ugut’ negaranya sekali gus meningkatkan kebimbangan tercetus perang perdagangan sebenar.

“Sekiranya AS bertindak secara tidak rasional dan mengeluarkan senarai mereka, China tidak mempunyai pilihan selain mengambil langkah-langkah komprehensif dari segi jumlah dan kualiti yang bersesuaian serta me­ngenakan tindak balas paling tegas,” katanya.

Ramai ahli ekonomi memberi amaran penguatkuasaan tarif antara kedua-dua negara bakal menjadikan produk lebih mahal untuk pengguna AS dan mengancam beberapa perniagaan yang bergantung kepada China untuk alat ganti atau pemasangan.

Pasaran Asia turut merudum kesan daripada ketegangan terbaharu dua ekonomi terbesar dunia itu dan saham global juga dilaporkan terjejas teruk sejak semalam.