Jurucakap WHO, Tarik Jasarevic berkata, pendekatan itu adalah sebagai langkah berjaga-jaga mengambil kira risiko jangkitan baharu virus Zika yang semakin meningkat di banyak negara.

“WHO percaya, keengganan menerima darah daripada individu yang baru pulang dari negara terjejas, boleh membantu menyekat penularan virus tersebut,” katanya.

Pengumuman itu dibuat ketika Eropah mencatat kes pertama jangkitan virus Zika melibatkan seorang wanita mengandung dari Catalonia, Sepanyol.

Wanita berusia 41 tahun berasal dari Amerika Selatan itu dikatakan menunjukkan simptom dijangkiti virus Zika selepas pulang dari Colombia.

Dengan berpuluh-puluh kes diramal berlaku di Eropah dan Amerika Utara akibat bawaan individu yang pulang dari negara terjejas, WHO turut menekankan tentang pentingnya kaitan antara Zika dan microcephaly.

Microcephaly merupakan kecacatan otak atau kepala kekal yang boleh mempengaruhi kualiti hidup bayi sehingga dewasa dan menyebabkan kepala bayi berkenaan membesar dalam keadaan yang abnormal.

Awal minggu ini, WHO mengisytiharkan virus Zika boleh memberi ancaman serius kepada bayi dalam kandungan.

Justeru, beberapa buah negara termasuk Colombia, Ecuador, El Salvador, Jamaica, dan Puerto Rico telah memberi amaran kepada semua wanita di negara masing-masing supaya tidak mengandung buat masa ini. – AFP