Portal Jakarta Post memetik kenyataan Susilo sebagai berkata, terdapat satu komponen subjektif berkaitan saman terhadap Presiden dan Naib Presiden yang dimasukkan dalam draf rang undang-undang Kod Kriminal (RUU KUHP) yang diusulkan kepada Dewan Perwakilan.

Beliau berkata, semua pihak termasuk Presiden mempunyai hak untuk mengemukakan saman terhadap individu yang menyebarkan fitnah atau menghina atau perkara yang sama, tetapi Jokowi dinasihatkan agar tidak bertindak secara melampau.

Jelas beliau, perkara yang dimasukkan dalam draf itu berkaitan hina, fitnah atau seumpamanya akan menjadi perkara semula jadi kerana melibatkan kepentingan pihak berkuasa yang memerintah negara, sekali gus menjadi komponen yang subjektif.

“Saya sendiri pernah berdepan situasi memalukan sepanjang 10 tahun bergelar sebagai Presiden termasuk menerima beratus-ratus kenyataan dan tindakan yang merosakkan nama baik saya.

“Satu daripada kejadian memalukan yang pernah berlaku apabila sekumpulan penunjuk perasaan memijak dan membakar gambar rasmi saya sebagai Presiden Republik Indonesia,” kata beliau menerusi akaun Twitter.

Selain itu, Susilo turut berkongsi pengalaman memalukan beliau apabila sekumpulan penunjuk perasaan berarak dengan membawa seekor kerbau yang ditampal dengan perkataan ‘SBY’ di bahagian perut, merujuk huruf awal namanya.

Bagaimanapun bekas Presiden itu menegaskan, beliau tidak pernah menggunakan hak untuk mengemukakan laporan kepada pihak polis berhubung kejadian tersebut.

“Jika saya membuat laporan, pihak polis terpaksa menyiasat beratus-ratus orang dan menamakan mereka sebagai suspek.

“Tindakan tersebut hanya mengganggu tugas sebagai Presiden dan rakyat tidak akan berani mengkritik kerajaan kerana bimbang dinamakan sebagai suspek atau dianggap melakukan jenayah,” kata beliau.

Susilo turut mengingatkan bahawa perkara memalukan seperti penghinaan dan fitnah yang dialami sepanjang pemerintahannya tidak berlaku semasa pentadbiran Jokowi.

“Saya mendapati tiada penghinaan sama ada dalam bentuk kelakuan atau penulisan terhadap Presiden (Jokowi) dan laporan buruk dalam media.

“Situasi itu menunjukkan petanda yang baik,” katanya.