Portal berita viva.co.id yang memetik Pegawai Agensi Vulkanologi Indonesia, Arif Cahyo mengesahkan, letusan tersebut berlaku dari tengah malam sehingga pukul 4.50 petang waktu tempatan.

Abu yang dimuntahkan dari gunung berapi itu dilaporkan telah dibawa angin sehingga memenuhi ruang udara Berastagi, sebuah bandar pelancongan di pergunungan Karo.

“Ekoran itu, pegawai tempatan di Berastagi turut menasihatkan penduduk tempatan dan pelancong supaya memakai topeng dan pelindung mata bagi mengelak daripada terdedah secara langsung kepada abu gunung berapi,” jelas Arif.

Menurutnya, aktiviti gunung berapi itu menyebabkan kawasan sekitar diletakkan pada tahap amaran bahaya paling tinggi.

Kawasan dalam lingkungan tujuh kilometer dari pusat gunung berapi itu turut ditutup dan beribu-ribu penduduk kampung dipindahkan ke pusat perlindungan sementara berhampiran.

Ketua Agensi Mitigasi Bencana Daerah Karo, Martinus Sitepu berkata, gunung berapi itu telah memuntahkan lahar, asap dan abu sehingga 5,000 meter ke udara.

Gunung Berapi Sinabung meletus secara berkala sejak September 2013, menyebabkan ribuan penduduk terpaksa dipindahkan setiap kali kejadian itu berlaku.– DPA