Menteri Penyelarasan Hal Ehwal Politik, Perundangan dan Keselamatan, Luhut Binsar Pandjaitan berkata, setakat ini, kira-kira 30 buah syarikat telah dikenal pasti kerana mencetuskan kebakaran dan lebih banyak lagi firma akan didakwa berhubung kesalahan yang sama.

Tegasnya, masalah yang timbul itu menyebabkan ketidakadilan berlaku kepada kerajaan kerana terpaksa bertanggungjawab memadamkan kebakaran besar yang melanda di Kalimantan dan Sumatera.

Beliau turut mempersoalkan tentang keadilan apabila sebuah syarikat memiliki tanah seluas 2.8 juta hektar tidak terlibat dalam proses memadamkan kebakaran.

“Malah, terdapat individu memiliki tanah seluas 600,000 hektar, tetapi tidak mempunyai satu pun alat pemadam api.

“Kini mereka tidak akan bermain-main lagi kerana menyedari saya mengendalikan kes me­reka,” katanya pada satu wawancara bersama majalah mingguan, Tempo.

Luhut turut menjelaskan sebab-sebab kerajaan enggan mengisytiharkan jerebu sebagai bencana negara, walaupun beberapa bandar di Indonesia mengalami pencemaran udara yang teruk termasuk mencapai tahap berbahaya.

“Perlukah kerajaan memadamkan kebakaran hutan setiap masa? Jika kita mengisytiharkan sebagai bencana negara, syarikat terlibat akan meraih keuntungan.

“Mereka memiliki simpanan se­ba­nyak 500 juta pound sterling (RM3.3 bilion) di bank-bank di London, tetapi masih meminta kerajaan untuk memadamkan kebakaran,” kata beliau.

Luhut menambah kata, Jakarta tidak menerima bantuan daripada negara jiran lebih awal kerana kerajaan mahu mencuba menyelesaikan isu tersebut dengan sendiri.

Malah, katanya, tindakan sebuah negara jiran yang hanya menawarkan bantuan sebuah pesawat untuk memadamkan kebakaran sebagai satu penghinaan.

“Kini saya sendiri diberi tanggungjawab menangani isu kebakaran hutan dan menggerakkan Agensi Pengurusan Bencana Nasional untuk menyelesaikan krisis ini.

“Itu kehendak Presiden Joko Widodo, kerana beliau memandang serius isu ini dan kami menerima tugas tersebut,” katanya.