Mail Online melaporkan, ke­sesakan lalu lintas di Lebuh Raya NH-8 dari New Delhi ke Gurgaon merupakan satu isu lama dan diburukkan lagi dengan tindakan kerajaan mengambil pendekatan ‘eksperimen’ dalam menyelesaikan masalah tersebut.

Keadaan lalu lintas diburukkan susulan tindakan kerajaan menutup 32 plaza tol yang disifatkan sebagai boleh membantu menyelesaikan masalah yang sudah berlarutan selama lima tahun itu.

Satu imej yang dibuat naik oleh pengasas sebuah pertubuhan bukan kerajaan dikenali sebagai Perlindungan Kebudayaan, Warisan, Alam Sekitar, Tradisi dan Promosi Kesedaran (CHETNA), Anil Sood di laman sosial Twitter menceritakan segala-galanya.

“Rasuah, ketidakcekapan, dan rompakan hanya membuang banyak masa pengguna jalan raya,” kata Anil dalam kapsyen gambar berkenaan.

Tindakan penutupan plaza tol itu turut menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk yang bimbang dengan peningkatan kadar kemalangan pada masa hadapan.

“Sejak Plaza Tol Sirhaul ditutup, kenderaan yang datang dari New Delhi bergerak sangat laju dan boleh menyebabkan berlakunya kemalangan,” kata Pesuruhjaya Polis Gurgaon, Alok Mittal.

Menurut laman web Times of India, ketika ini polis dan kerajaan saling menuding jari antara satu sama lain berhubung masalah ke­sesakan jalan yang dialami oleh pengguna jalan raya.