Album terbaharu Swift dalam tempoh tiga tahun ini, memperlihatkan perubahan imej penyanyi itu yang turut menerima pelbagai ulasan daripada pengkritik muzik manakala peminatnya menghayati lirik lagu-lagu berkenaan untuk mencari petunjuk tentang individu yang menjadi rujukan Swift dalam lagunya kali ini.

Swift, 27, dikenali sebagai penyanyi yang sering menggunakan pengalaman percintaannya sebagai inspirasi untuk menghasilkan lagu tetapi tidak pernah secara terang-terangan menamakan individu berkenaan.

Melalui album Reputation, penulis muzik dan peminatnya mendapat bayangan tentang bekas kekasih penyanyi itu, Calvin Harris dan pelakon Britain, Tom Hiddleston sebagai subjek dalam lagu berjudul I Did Something Bad dan Dancing with Our Hands Tied.

Kekasih terbaharunya yang juga pelakon Britain, Joe Alwyn dilihat sebagai sumber inspirasi untuk lagu-lagu yang bercorak romantik seperti Gorgeous dan Delicate.

Perbalahan yang berpanjangan antara Swift dengan penyanyi rap, Kanye West diabadikan dalam lagu berjudul This Is Why We Can’t Have Nice Things.

Album yang memuatkan 15 lagu itu mempunyai variasi genre antaranya hip-hop dan balada selain memperlihatkan imej pendendam penyanyi itu yang telah 10 tahun menceburi bidang hiburan.

Swift memaklumkan imej lamanya telah mati melalui lagu bertajuk Look What You Made Me Do yang dikeluarkan pada Ogos lalu menerusi album sama.

Lagu berkenaan me­nerima sambutan hangat dalam sejarah kemunculan pertama seseorang pe­nyanyi di YouTube dengan mendapat lebih 43 juta tontonan pada 24 jam pertama disiarkan. – Reuters