Lapor Metro.Co.Uk, Nadinne Bruna, 32, yang menukar warna asal matanya iaitu coklat hazel kepada kelabu muda, hilang 80 peratus keupayaan melihat pada mata kanannya manakala penglihatan mata kirinya hilang 50 pe­ratus.

Dia yang menetap di Miami pergi ke Colombia untuk menjalani pembedahan itu kerana prosedur berkenaan tidak diluluskan di Amerika Syarikat (AS).

Kos sebanyak AS$3,000 (RM11,638) diperlukan untuk me­masukkan implan silikon ke dalam matanya, harga diskaun yang ditawarkan dengan syarat dia perlu memuat naik mengenai pembedahan ter­se­but di media sosial.

Walau ba­gai­ma­napun, model Argentina itu mula mengalami masalah serius selepas pembedahan tersebut.

Nadinne men­dakwa penglihatan­nya menja­di kabur akibat tekanan implan ke atas saraf optik yang mengakibat­kan matanya menjadi merah dan me­nyakitkan untuk beberapa bulan.

Nadinne yang perlu menjalani dua lagi prosedur pembedahan untuk memulihkan kerosakan tersebut di Colombia pada bulan Mac dan Jun 2017, bagaimanapun digesa untuk men­dapatkan rawatan perubatan di Institut Mata Bascom Palmer di Miami.

Ahli oftalmologi, Dr. Ranya Habash mengetuai pasukan perubatan untuk mengeluarkan implan berbahaya berkenaan pada September lalu dan Nadinne kemudian menjalani pembedahan kecemasan menyelamatkan matanya untuk merawat glaukoma pada November.

Nadinne dan kembarnya, Danna membina kerjaya di laman sosial Instagram di mana mereka sering berkongsi gambar pembedahan kosmetik yang mereka jalani.

Pasangan kembar berkenaan kerap menjalani pembedahan dan sering dibayar untuk mempromosikan prosedur perubatan tersebut di kedua-dua akaun mereka yang mempunyai lebih sejuta pengikut.