Kebanyakan penduduk Rohingya yang tiba di Bangladesh tidak menerima sebarang bekalan bantuan menyebabkan satu persatu daripada mereka termasuk seorang bayi berusia enam bulan menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan serba daif.

Kematian bayi bernama Alam itu memperlihatkan kesengsaraan terpaksa ditanggung etnik Rohingya akibat daripada kekejaman tentera Myanmar yang tanpa belas kasihan me­nyerang dan membakar kampung mereka, memaksa penduduk melarikan diri.

Alam meninggal dunia beberapa jam sejurus tiba di sebuah kem pelarian berhampiran Teknaf bersama ibunya, Nur Begum, 22, selepas melalui perjalanan selama tiga minggu dari Rakhine ke Myanmar.

Ketika jasad bayi yang kurus kering itu terbaring menunggu untuk dimandi dan dikafankan, Nur Begum menceritakan bagaimana tentera Myanmar membunuh suami serta dua anak lelakinya dan memaksa dia melarikan diri ke Bangladesh.

“Anak saya sakit sepanjang perjalanan dari Rakhine ke sini. Sepanjang perjalanan, saya tidak mendapat bekalan makanan sehingga gagal menyusukan Alam.

“Saya hanya dapat menjamah sedikit makanan setibanya di sini dan saya berharap dapat menyusukannya. Namun, dia pergi dulu meninggalkan saya,” katanya dengan juraian air mata.

Nasib Alam menggambarkan bagaimana pelarian Rohing­ya terutamanya ba­yi dan kanak-kanak terpaksa berla­par kerana tidak menerima bantuan daripada mana-mana pihak.

Hanya 32,000 etnik tersebut berdaftar sebagai pelarian, sementara lebih 200,000 yang lain hidup tanpa bantuan kerajaan Bangladesh atau badan kebajikan.

Seorang pemimpin di sebuah kem pelarian Rohingya, Dudu Mia berkata, kira-kira 15,000 penduduk hidup dalam keadaan serba kekurangan selama bertahun-tahun.

“Ada kalanya, kami tidak makan selama berhari-hari,” katanya.

Keadaan di kem-kem terlibat juga semakin melarat sejak keganasan baharu tercetus apabila lebih ramai pelarian tiba di Bangladesh. – AFP