Pihak Berkuasa Wakaf Islam Baitulmaqdis yang menguruskan kawasan itu mengumumkan petang semalam, bahawa semua pintu dibuka kepada semua penduduk Palestin tanpa had umur.

Jurucakap pihak berkuasa itu, Firas al-Dibs berkata, pihak berkuasa Israel bersetuju untuk menarik balik sekatan berkenaan.

Kira-kira 10,000 penduduk Pa­lestin berada di dalam kawasan Masjid Al-Aqsa untuk mengerjakan solat, lapor portal Al-Jazeera.

Terdahulu, polis Israel menghalang penduduk Palestin lelaki berusia di bawah 50 tahun untuk memasuki kawasan berkenaan dan menutup beberapa pintu masuk.

Tindakan itu mencetuskan bantahan di beberapa bandar termasuk di Tebing Barat sebaik sahaja selesai solat Jumaat menyebabkan kira-kira 225 orang cedera di kawasan berkenaan dan Baitulmaqdis.

Sementara itu, kira-kira 100 pe­neroka haram Israel menceroboh dan merampas sebuah rumah milik penduduk Palestin, Abu Rajab di kota lama Hebron sekali gus mencetuskan ketegangan di kawasan berkenaan.

Pengarah kumpulan aktivis, Belia Menentang Penempatan, Issa Amro berkata, peneroka berkenaan memindahkan perabot mereka ke dalam rumah berkenaan sambil disaksikan oleh anggota tentera dan polis Israel.

Pertubuhan Pertahanan Hak Asasi Manusia turut memuat naik video rakaman insiden itu di Facebook yang menunjukkan anggota tentera rejim Zionis itu menolak dan mengepung ahli keluarga Abu Rajab sambil beratus-ratus pene­roka haram itu bertepuk tangan.