Menurut portal berita BBC, firma perakaunan PricewaterhouseCoo­pers (PwC) mengesahkan, kawalan keselamatan di kediaman dua kakitangannya iaitu Brian Cullinan dan Martha Ruiz ditingkatkan berikutan kesilapan tersebut.

Jurucakap PwC, Carey Bodenheimer berkata, Cullinan dan Ruiz diberi perlindungan selepas alamat rumah dan gambar keluarga mereka disiarkan dalam media.

Laman web selebriti TMZ.com melaporkan, mereka kini diselubungi ketakutan ekoran ancaman berkenaan selain tidak lagi dibenarkan terlibat dalam pengiraan undian.

Walau bagaimanapun, kedua-dua mereka tidak dipecat daripada PwC.

Pada Ahad lalu, aktor veteran, Warren Beatty dan Faye Dunaway didakwa telah diberikan sampul surat yang salah ketika menyampaikan anugerah bagi kategori filem terbaik.

Kejadian itu digambarkan sebagai kesilapan terburuk dalam tempoh 89 tahun sejarah Oscar selepas Cullinan memberikan sampul simpanan bagi anugerah pelakon wanita terbaik yang dimenangi Emma Stone kepada Beat­ty dan Dunaway.