Menurut potal berita Mail Online, jam unik yang dinamakan Aircon Watch itu mengandungi peranti yang akan menyalurkan denyutan panas dan sejuk pada pergelangan tangan pengguna.

Pereka jam tersebut mendakwa, denyutan itu berfungsi me­rangsang isyarat yang dihantar sistem saraf ke bahagian otak, sekali gus membantu alat itu membuat perubahan kecil pada suhu badan.

“Keistimewaan utama jam ini adalah pada talinya yang dilengkapi dengan teknologi ClimaCon. Peranti kecil ini melekap pada kawasan pergelangan ta­ngan di mana sarafnya lebih dekat ke permukaan kulit untuk membolehkan pemindahan maksimum suhu.

“Aircon Watch juga amat sesuai digunakan oleh golo­ngan wanita yang berdepan gejala putus haid. Peranti ini berupaya memancarkan suhu sejuk dan menenangkan selain mengurangkan rasa panas badan yang sering dialami mereka,” katanya dalam kenyataan di laman web Kickstarter.

Jam tersebut juga sesuai digunakan dalam semua suhu, musim atau zon waktu dan direka berdasarkan kajian oleh penyelidik di Universiti Stanford pada 2012 yang melihat peraturan suhu.

Dalam kajian itu, penyelidik menunjukkan bahawa alat yang di­sebut ‘sarung tangan’ dapat menurun­kan suhu tubuh dengan menarik darah ke permukaan telapak ta­ngan dan menyejukkan darah dengan air sejuk.

Aircon Watch dijangka dijual dengan harga AS$75 (RM313.90) namun tidak dapat dipastikan tarikh sebenar alat itu akan ber­ada di pasaran.