Syarikat tersebut menyertai beberapa firma gergasi yang telah menyuarakan sokongan apabila mengumumkan ranca­ngan men­yediakan tempat tinggal sementara kepada lebih 100,000 pelarian, mangsa bencana dan sukarelawan di luar negara dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Mereka yang terpaksa dipindahkan sama ada akibat pepe­rangan, konflik, bencana alam atau faktor-faktor lain sering dipinggirkan dan tidak diterima masyarakat luar. Sedangkan golongan ini memerlukan tempat tinggal. Atas dasar itu kami terpanggil untuk membantu,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Syarikat tersebut menyumbang sebanyak AS$4 juta (RM17.7 juta) kepada IRC bagi melaksanakan projek berkenaan dan meminta pelanggannya menyertai kempen menerima kehadiran pelarian.

Minggu lalu, Airbnb menawarkan penginapan percuma kepada pelarian dan warga asing yang dihalang memasuki Amerika Syarikat (AS) ekoran sekatan imigresen oleh pentabdiran Presiden AS, Donald Trump, walaupun arahan itu telah digantung sementara oleh mahkamah.

“Golongan pelarian terpaksa menempuh situasi yang buruk dan dalam banyak kes, perjalanan mereka ke AS juga amat panjang dan sukar. Sekarang kita mahu mereka mula merasa seperti ber­ada di rumah sendiri,” kata jurucakap IRC, Lucy Keating.

Inisiatif sama turut dilakukan oleh syarikat perabot dari Sweden, IKEA yang mengumumkan untuk menjual permaidani dan tekstil hasil tangan pelarian Syria bermula pada 2019 dengan menggaji golongan wanita yang tinggal di kem-kem perlindungan di Jordan.

“Situasi di Syria kini satu tragedi dahsyat dan Jordan sudah mengambil tanggungjawab besar menempatkan pelarian Syria.

“Oleh yang demikian kami memutuskan untuk melihat bagaimana IKEA boleh menyumbang dalam menyokong usaha Jordan mengintegrasikan pela­rian dengan penduduk tempatan dalam pasaran buruh melalui pekerjaan,” kata jurucakap IKEA, Johanna Martin. – REUTERS