Tujuh buah wilayah terlibat adalah Jakarta, Aceh, Bangka Belitung, Banten, Gorontalo, Sulawesi Barat dan Papua Barat melibatkan 153 calon.

Namun, media-media tempatan lebih banyak memberi tumpuan Pilkada kali ini kepada pemilihan Gabenor Jakarta apabila perebutan jawatan itu menyaksikan pertembungan tiga penjuru.

Tiga calon itu, Anies Rashid Baswedan dan pasangannya, Sandiaga Uno; penyandang Ga­benor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama (Ahok) dan timbalannya, Djarot Saiful Hidayat serta anak bekas Presiden Susilo Bambang Yudho­yono, Agus Harimurti Yu­dhoyono dan rakannya Sylviana Murni sibuk menggiatkan usaha menambat sokongan lebih 7.4 juta warga Jakarta sejak kempen tersebut bermula September lalu.

Malah, kontroversi melibatkan calon pilihan, Ahok yang didakwa menghina Islam ekoran kenya­taannya yang memetik surah al-Maidah ketika berkempen dan bertemu pengundi di Kepulauan Seribu pada September lalu, sekali gus menjadikan banyak pihak memberi tumpuan kepada pilihan raya Gabenor kali ini.

Walaupun mendapat soko­ngan padu Presiden Joko Widodo (Jokowi) dan Parti De­mokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) pimpinan Megawati Soekarnoput­ri; Golkar dan Parti Nasional Demokrat (Nasdem), nyata kontroversi itu menjejaskan perjalanan karier politik Ahok.

Ini dapat dilihat menerusi dua demonstrasi besar-besaran yang diadakan di Jakarta, pada November dan Disember tahun lalu yang akan disusuli satu lagi tunjuk pera­saan pertengahan bulan ini bagi membantah satu-satunya calon daripada keturunan Tionghua dan bukan beragama Islam.

Bagaimanapun, di sebalik bantahan dan tindakan mahkamah mendakwa Ahok atas dakwaan menghina agama, penyandang Gabenor itu sebenarnya masih mengungguli pola sokongan penduduk Jakarta.

Berdasarkan tinjauan enam badan pungutan suara di Indonesia bulan lalu, Ahok didapati masih mengekalkan populariti apabila tiga daripada keputusan pengundian masih memilihnya sebagai calon pendahulu.

Menurut tinjauan Saiful Mujani Research Center (SMRC), Ahok mendahului pesaingnya dengan 34.8 peratus berban­ding Anies (26.4 peratus) ketika Indikator Politik menunjukkan Ahok selesa mendahului di hadapan Agus dengan kelebihan 38.2 peratus berbanding 24.1 peratus manakala Alvara Research Center menyaksikan Ahok disokong 34.8 peratus dan 31.8 peratus dipu­ngut Agus.

Ini dikuatkan dengan panda­ngan seorang penganalisis politik tempatan, Pangi Chai­nago yang percaya Ahok sama sekali tidak dapat dikalahkan ter­utama apabila beliau bergandingan de­ngan penyandang timbalan, Dja­rot.

Namun menurut Lingkaran Survei Indonesia (LSI); Polmark Research Center dan Poltracking­ Indonesia, populariti Ahok menyusut sedikit dengan Agus dan Anies dilihat memanfaatkan sepenuhnya kes penghinaan agama yang dihadapi Ahok.

Jelas, populariti Ahok yang disukai rakyat sebelum ini se­olah-olah ‘memakan diri’ ekoran isu penghinaan agama itu.

Malah, demonstrasi besar-besaran yang diadakan pada tahun lalu itu juga seperti memberi isyarat bahawa umat Islam di Jakarta sebenarnya sudah bangkit dan akan menolak pemimpin bukan Islam khususnya yang menghina agama.