Ketika ini, dua calon utama iaitu penyandang, Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok dan bekas Menteri Kabinet Indonesia, Anies Baswaden saling bersaing dengan masing-masing meraih 42.57 dan 40.23 peratus undi.

Seorang lagi calon, Agus Yudhoyono yang juga anak lelaki kepada bekas Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono pula berada di tangga ketiga dengan menerima 17 peratus undi.

 

“Kami berharap semua pihak dapat bersatu sebagai sebuah keluarga selepas pilihan raya ini,” kata Pre­siden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi.

Ahok yang beragama Kristian sebelum ini berdepan tunjuk perasaan besar-besaran yang mahukan pemimpin itu dihukum kerana dianggap telah menghina Islam.

Dalam pada itu, secara keseluruhannya, sebanyak 41,802,538 rak­yat Indonesia di tujuh buah wilayah dilaporkan keluar mengundi untuk memilih Ketua Eksekutif rakyat masing-masing menerusi Pilihan Raya Ketua Daerah (Pilkada).

Selain Jakarta yang menjadi tumpuan, enam buah wilayah lain ialah Aceh, Bangka Belitung, Banten, Gorontalo, Sulawesi Barat dan Papua Barat.

Pilkada pada tahun ini adalah sebagai usaha penyelarasan pilihan raya serentak seluruh Indonesia menjelang tahun 2020.

Di samping jawatan Gabenor dan Naib Gabenor untuk tujuh wilayah, pilihan raya itu juga bertujuan memilih Datuk Bandar atau disebut sebagai Wali Kota dan timbalannya bagi 18 buah kota, 101 Pegawai Daerah atau Bupati.

Sebanyak 310 pasangan calon iaitu 241 calon daripada parti-parti politik dan 69 calon bebas bertanding pada pilihan raya bagi merebut jawatan-jawatan itu.

Bersempena dengan Pilkida itu, Jokowi turut mengisytiharkan cuti umum bagi membolehkan semua pemilih menunaikan tanggungjawab mereka dan waktu mengundi bermula pada pukul 7 pagi sehingga pukul 3 petang ini. – REUTERS/BERNAMA