Adegan tarik menarik rambut, tolak menolak, tampar menampar dan tendang menendang tercetus antara dua ahli politik wa­nita semalam ketika pembentangan usul pindaan untuk memberi kuasa eksekutif kepada Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.

Menurut laporan Mail Online, terdahulu, ahli Parlimen Bebas, Aylin Nazliaka yang membantah usul itu menggari tangannya pada mikrofon sehingga memaksa Timbalan Speaker memberhentikan sesi tersebut sebanyak dua kali selain menggantung perbahasan selama dua jam.

Semasa sesi itu berehat, sekumpulan ahli politik wanita cuba memujuk Aylin untuk menamatkan tindakannya itu de­ngan salah seorang daripadanya melonggarkan skru mikrofon berkenaan.

Namun tindakan ahli Parlimen itu mencabut mikrofon tersebut telah menimbulkan kemarahan beberapa pemimpin lain sehingga tercetusnya pergaduhan antara ahli politik dari parti pembangkang dengan parti kerajaan.

Perkelahian itu memuncak apabila mereka mula tolak menolak dan saling tampar menampar sehingga menyebabkan Timbalan Speaker dari parti pro-Kurdis, Pervin Buldan dikejarkan ke hospital selepas ditendang di bahagian dada.

Seorang ahli Parlimen yang cacat anggota dari parti pembangkang, Safak Pavey memberitahu akhbar Hurriyet, dia ditolak ke lantai oleh seorang ahli Parlimen daripada parti kerajaan manakala seorang ahli Parlimen lain telah menarik rambut rakannya.

Situasi masih tegang apabila persidangan disambung semula dengan anggota parti pembangkang mendesak Speaker Parlimen mengenakan tindakan disiplin terhadap anggota parti kerajaan, Gokcen Enc yang dituduh memulakan ‘serangan’.

Menurut sumber parti kerajaan, Enc dimasukkan ke hospital kerana mengalami kecederaan pada tengkuk dan bahagian belakang badan akibat pergadu­han itu.

Kejadian tersebut merupakan kali ketiga pembentangan usul pindaan itu mencetuskan pergaduhan.

Minggu lalu, pergaduhan turut tercetus antara ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang dengan seorang ahli Parlimen mendakwa digigit pada bahagian kaki.