Ahed, 17, dianggap sebagai wira dalam kalangan penduduk Palestin sudah lama berjuang bersama keluarganya menentang penindasan yang dilakukan oleh Israel termasuk merampas tanah penduduk Palestin.

“Saya akan meneruskan pe­ngajian di universiti dalam bidang perundangan supaya satu hari nanti saya dapat membebaskan Palestin daripada cengkaman pihak tidak bertanggungjawab.

“Penjara mengajar saya ba­nyak perkara dan saya juga menemukan cara terbaik untuk membawa suara Palestin ke peringkat seterusnya,” katanya selepas tiba di sini dan disambut puluhan penduduk tempatan.

Remaja perempuan tersebut berusia 16 tahun ketika ditahan pada Disember 2017 dan dikenakan 12 dakwaan sebelum mengaku bersalah pada Mac lalu bagi mengurangkan hukuman.

Turut ditahan ketika itu adalah ibu dan sepupunya, Nour namun gadis tersebut dibebaskan dari penjara pada Mac lalu.

Dalam video yang tular menerusi media sosial sebelum ini, kelihatan Ahed dan Nour menggesa anggota tentera Israel me­ninggalkan kawasan di sini sebelum bertindak menyepak dan menampar mereka.

Sementara itu, kepulangan Ahed turut disambut oleh Pre­siden Palestin, Mahmoud Abbas yang menyifatkan remaja tersebut sebagai model keamanan sejagat dan membuktikan kepada dunia bahawa rakyat Palestin akan terus mempertahankan hak mereka walau apa sekali yang berlaku.

Kenyataan Mahmoud itu dipetik oleh agensi berita Wafa selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Ahed dan ibunya di kediaman mereka, di sini. – REUTERS