Rakaman video Ahed menampar anggota tentera tersebut sebelum ini menjadi tular dalam media sosial sehingga beliau di­puji kerana keberaniannya dan dianggap sebagai simbol kekuatan penduduk Palestin.

Jurucakap penjara, Assaf Librati berkata, Ahed, 17, dan ibunya yang turut dipenjarakan ber­hubung insiden yang sama di­bawa keluar dari penjara Israel menuju ke Tebing Barat di mana mereka tinggal sebelum ini.

Ahed dan ibunya dikenakan hukuman penjara lapan bulan selepas perbicaraan di mahkamah tentera Israel mendapati mereka bersalah menampar anggota tentera Israel pada Disember tahun lalu di kawasan Nabi Saleh di Tebing Barat.

Keberanian Ahed juga menda­pat pujian daripada Presiden Pa­­lestin, Mahmoud Abbas menyebabkan akaun media sosialnya menerima jutaan sokongan.

Namun, Israel beranggapan Ahed hanya digunakan oleh keluarganya sebagai bahan provokasi termasuk penularan beberapa video remaja itu sebelum ini yang berani berdepan dengan tentera Israel.

Ahed ditahan pada 19 Disember lalu iaitu empat hari selepas insiden tersebut dan beliau berusia 16 tahun ketika itu.

Selain ibunya, turut ditahan sepupunya iaitu Nour namun gadis itu dibebaskan dari penjara pada Mac lalu.

Dalam video tersebut, kelihatan Ahed dan Nour menggesa anggota tentera Israel meninggalkan kawasan tersebut sebelum menyepak dan menampar mereka.

Bagaimanapun, anggota tentera Israel dalam video tersebut tidak memberi tindak balas dan beredar selepas ibu Ahed masuk campur. – AFP