Berita mengenai kes terbabit di negeri Uttar Pradesh serta Uttarakhand itu tersebar sejak tiga hari lalu dan polis mengesyaki samsu berkenaan dicampur dengan metanol.

Samsu murah buatan tempatan sangat popular di bahagian luar bandar India dan peniaga sering memasukkan metanol ke dalam produk mereka untuk menambah tahap alkohol dalam minuman terbabit.

Sekiranya metanol diambil dalam kuantiti yang banyak, ia akan menyebabkan seseorang menjadi buta, hati rosak dan mati.

Menurut jurucakap polis, Shailendra Kumar, seramai 59 orang meninggal dunia selepas minum samsu tersebut di sebuah daerah di Uttar Pradesh.

Selain itu, sembilan orang dilaporkan maut di daerah berhampiran dan 66 orang penjual arak telah ditahan serta sampel samsu tersebut sudah dibawa ke makmal untuk diuji.

Polis berkata, sekurang-kurangnya 31 orang maut di Uttarakhand dan dua penjual arak turut ditahan selepas didapati membekalkan minuman keras itu.

Media tempatan melaporkan, kira-kira 3,000 orang yang dikaitkan dengan perdagangan samsu haram ditahan di seluruh Uttar Pradesh susulan kejadian berkenaan. – AFP

Ratusan penduduk miskin mati setiap tahun di India akibat keracunan alkohol kebanyakannya kerana mengambil minuman keras murah. - AFP