Kejadian itu menyebabkan sembilan jemaah iaitu tiga lelaki dan enam wanita cedera ringan termasuk seorang terseliuh bahu kanan manakala yang lain cedera di mata, kepala dan pipi akibat terhentak pada kerusi hadapan.

Kemalangan itu membabitkan dua buah bas yang membawa jemaah haji Malaysia ke Mekah dari Mina.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof berkata, kemalangan tersebut berlaku kira-kira pukul 8.40 pagi di Jambatan Aziziyah semasa jemaah berkenaan dalam perjalanan pulang ke Mekah selepas melakukan nafar awwal.

Katanya, bas yang membawa mereka dikatakan melanggar bahagian belakang sebuah lagi bas yang turut membawa jemaah Malaysia.

“Kira-kira pukul 8.40 pagi, bilik gerakan Tabung Haji me­nerima laporan mengenai kemalangan tersebut daripada jemaah sendiri lalu menghantar petugas perubatan dan kebajikan bersama-sama pihak Muassasah Asia Tenggara meninjau dan memberi pertolongan.

“Keadaan jalan ketika itu sangat sesak kerana kebanyakan jemaah haji dari seluruh dunia melakukan nafar awwal dan pulang ke Mekah pada hari sama,” katanya selepas melawat jemaah haji yang cedera di sini.

Menurut beliau, jemaah ber­kenaan belum sempat menyelesaikan tawaf rukun dan saie.

Beliau memuji tindakan pantas Tabung Haji serta Muassasah Asia Tenggara yang menghantar bantuan serta dua bas ganti untuk membawa jemaah pulang ke maktab.

Katanya, sembilan jemaah yang cedera telah dibawa ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan sebelum dibenarkan pulang ke maktab mereka.

Menurutnya, pasukan peruba­tan Tabung Haji turut membuat saringan kesihatan sekali lagi terhadap jemaah lain yang terselamat untuk memeriksa sekiranya mereka mengalami trauma berikutan kemalangan itu.

Beliau seterusnya menasihati ahli keluarga jemaah haji di tanah air agar tidak bimbang dengan kemalangan tersebut kerana langkah yang sepatutnya telah diambil Tabung Haji dalam memastikan jemaah selamat.

“Ia hanya satu kemalangan yang tidak melibatkan kecederaan serius. Daripada apa yang saya lihat, mereka dalam proses pemulihan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Munawar Harun yang terseliuh bahu kanan berkata, ketika kejadian dia berdiri dan tangannya berpaut pada pemegang dan apabila bas itu merempuh bas hadapan, badan­nya terpusing dan bahu kanannya terhentak pada pemegang besi.

Isterinya, Sukini Giman berkata, tangannya sakit kerana terhentak pada kerusi hadapan. – UTUSAN