Pengarah Hospital Bersalin dan Kanak-kanak Mekah, Dr. Anas Saddayo berkata, setiap proses kelahiran berjalan lancar di hospital di Mekah yang serba lengkap dan mempunyai tahap perkhidmatan bertaraf dunia.

Portal berita Saudi Gazette melaporkan, salah seorang daripadanya adalah jemaah warga Algeria yang melahirkan bayi pe­rempuan di hospital Mekah.

Jemaah yang enggan dikenali menyatakan kegembiraan dan bersyukur bayinya dilahirkan di tanah suci.

“Saya datang mengerjakan haji seorang diri tetapi kini saya sudah mempunyai teman baharu iaitu bayi perempuan saya,” katanya sambil menambah anaknya itu telah menerima sijil kelahiran yang didaftarkan di Mekah.

Wanita itu memuji kerajaan Arab Saudi kerana menyediakan penjagaan dan perkhidmatan terbaik bermula ketika dia dimasukkan ke hospital sehingga bayinya dilahirkan.

“Saya amat berterima kasih kepada pihak pengurusan dan kakitangan hospital serta kerajaan negara ini di atas penjagaan dan bantaun yang saya terima,” katanya.

Seorang lagi jemaah warga Yemen dilaporkan selamat melahirkan anak ketika berada di Arafah untuk menunaikan wukuf.

Wanita itu mengadu sakit ketika berdiri di Jabal Rahmah dan dikejarkan ke hospital Namira oleh keluarganya dengan bantuan pegawai Arab Saudi.

Ramai jemaah wanita lelaki dan wanita Yemen dilaporkan tu­rut berada di hospital itu untuk mengucapkan tahniah kepada pasangan tersebut yang dikurniakan seorang cahaya mata lelaki.

Sementara itu, jurucakap ke­selamatan Kementerian Dalam Negeri, Major Jeneral Mansour Al-Turki, mengumumkan kejayaan pelan dan kawalan keselamatan yang bertujuan me­lancarkan pergerakan jemaah-jemaah haji ke Arafah, menghabiskan malam di Muzdalifah dan bergerak ke Mina untuk melengkapkan ibadah haji mereka.