Komander Pasukan Keselamatan Kemudahan Saudi, Mejar Je­neral Saad Al-Jabari berkata, pasukannya sudah bersedia untuk menjamin keselamatan perkhidmatan kereta api yang beroperasi bagi tempoh seminggu dalam setahun itu.

Katanya dalam temubual eksklusif bersama Arab News, ken­deraan tentera baharu juga akan digunakan buat pertama kali semasa musim haji tahun ini bagi berdepan sebarang ancaman pengganas.

“Persediaan dan latihan pasukan sudah siap dan akan membantu kelancaran perkhidmatan kereta api,” kata Saad.

Saad menjelaskan, pasukan Keselamatan Kemudahan bertanggungjawab melindungi kemudahan awam seperti minyak, elektrik dan pelbagai kemudahan lain.

Ujar beliau, pa­sukan itu akan me­ngambil alih tugas baharu pentadbiran dan perlindungan seperti agensi hal ehwal awam, pusat kesihatan, stesen kereta api kelolaan Syarikat Kereta Api Arab Saudi dan hospital pasukan keselamatan di Mekah, Riyadh dan Wilayah Timur.

Pusat pentadbiran baharu pula akan dibuka untuk tentera di kebanyakan wilayah Arab Saudi.

Saad menjelaskan, ketika ini terdapat kursus luar negara intensif diadakan untuk 45 orang pegawai dan 200 anggota tentera di pelbagai negara dan mereka akan dilantik sebagai pelatih sejurus kembali ke negara ini,

Pasukan Keselamatan Kemudahan yang mendapat sokongan langsung daripada Kementerian Dalam Negeri baru-baru ini me­nerima sejumlah kenderaan perisai dan senjata taktikal yang akan digunakan bagi melindungi kemudahan awam di Arab Saudi.