Sebanyak 843 penduduk pula cedera manakala 28 lagi masih hilang akibat ombak tsunami yang didakwa mencapai ketinggian tiga meter hingga mengakibatkan sebanyak 558 buah rumah, sembilan buah hotel dan 60 gerai makan rosak.

Tsunami yang melanda bahagian pantai sekitar Selat Sunda itu berlaku susulan gelinciran permukaan dasar laut yang berpunca daripada letupan Gunung Berapi Anak Krakatau di Pulau-Pulau Krakata dan air pasang besar.

Menurut Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat, Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB) Sutopo Purwo Nugroho, tsunami berkenaan melanda selatan Sumatera dan bahagian hujung barat Jawa kira-kira pukul 9.30 malam waktu tempatan.

“Pandeglang merupakan daerah mengalami kerugian dan kerusakan paling teruk dengan 126 orang dilapor meninggal dunia.

“Angka kematian dan kerosakan berlaku di tiga daerah iaitu Pandeglang dan Serang di wilayah Banten, bahagian barat Jawa manakala satu lagi di daerah Lampung Selatan di Sumatera,” katanya.

Sutopo berkata, pasukan penyelamat sedang berusaha mencari mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan di wilayah Banten dan Lampung.

Dalam satu video yang tular di media sosial menunjukkan ombak besar tiba-tiba merempuh sebuah pentas persembahan kumpulan muzik Indonesia, Seventeen.

Ombak berkenaan menyebabkan dua anggota kumpulan terbabit dan seorang pengurusnya maut manakala seorang terselamat dan dua lagi masih hilang.

Pihak berkuasa tempatan berkata, tsunami terbabit berkemungkinan berlaku akibat air pasang yang tidak normal berikutan perubahan fenomena bulan baharu dan gelinciran permukaan dasar laut susulan letusan Gunung Berapi Anak Krakatau.

“Kombinasi ini menyebabkan ombak tsunami melanda pantai,” kata Sutopo.

Bagaimanapun agensi geologi Indonesia sedang mengenal pasti punca sebenar bencana selepas pihak berkuasa Indonesia sebelum itu mendakwa ombak berkenaan bukanlah tsunami tetapi adalah air pasang dan menggesa orang ramai supaya tidak panik. – AFP